malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pakar forensik lapor polis nafi ugut saksi inkues Adib
Diterbitkan:  Apr 25, 2019 4:25 PM
Dikemaskini: 9:41 AM
ADS

Pakar forensik Prof Dr Shahrom Abd Wahid membuat laporan polis dua hari lalu bagi menafikan beliau mengugut saksi pakar lain dalam inkues berkenaan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ia dimaklumkan Syazlin Mansor - peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia - dalam kenyataan hari ini.

"Ini merupakan satu tuduhan tidak berasas dan tidak benar terhadap Shahrom.

"Perkara yang dinyatakan dalam laporan polis dan akhbar tersebut tidak berlaku, yang mana tiada kejadian ugutan dalam mana-mana perjumpaan antara kedua-dua pihak," katanya.

Sebelum ini, dua pakar forensik yang memberi keterangan dalam inkues itu dilaporkan membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata laporan itu diklasifikasi di bawah Seksyen 189 Kanun Keseksaan berkenaan ugutan bencana kepada penjawat awam.

Selain Shahrom, dua lagi pakar yang memberi keterangan ialah Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL Dr Mohd Shah Mahmood dan pakar perubatan forensik HKL Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Kedua-duanya berpandangan kecederaan Adib - yang membawa kepada kematiannya - berpunca daripada pelanggaran dengan van EMRS.

Shahrom bagaimanapun dalam keterangannya menyangkal pandangan itu dan berkata tidak mustahil anggota bomba itu ditarik keluar daripada van.

Syazlin berkata pihaknya langsung tidak menyangka tuduhan terhadap Shahrom itu akan timbul.

"Untuk makluman umum, beliau telah bersara pada tahun 2017 namun sanggup memberikan khidmat kepakaran secara percuma untuk membantu mahkamah dalam prosiding inkues ini," katanya lagi.

Lihat Komen