malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
A kata A, B kata B, rakyat akan keliru - Muhyiddin
ADS

Pandangan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa perlembagaan negeri Johor terbatal apabila Persekutuan Tanah Melayu terbentuk harus dibincangkan oleh pakar, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Menjelaskan perbezaan pendapat antara perdana menteri dan Istana Johor bukan suatu perkara baik, Muhyiddin berkata perbincangan harus diadakan bagi mengelakkan kekeliruan rakyat.

"Katalah Tun kata betul yang tafsiran TMJ (Tunku Mahkota Johor) tak betul. Ini mesti ada orang yang mengesahkan mana satu betul.

"Mesti ada satu usaha dibuat kalau babitkan soalan perlembagaan, pakar tertentu.

"A kata A, B kata B, rakyat akan keliru.

"Jadi bagi saya bukan satu perkara yang baik. Jadi bila kena kata boleh duduk bincang, termasuklah perkara ini," kata Muhyiddin kepada pemberita ketika ditemui di Petaling Jaya hari ini.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan saranan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada kerajaan persekutuan agar membincangkan isu itu secara matang.

Beliau berkata ini termasuk penafsiran terhadap perlembagaan negeri.

Semalam, Mahathir berkata perlembagaan negeri Johor dan Terengganu terbatal dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Berikutan itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Twitter memaparkan tangkap layar mengenai artikel Perlembagaan Persekutuan berhubung jaminan terhadap perlembagaan negeri dan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Perlembagaan Johor dimasyurkan pada tahun 1895, manakala perlembagaan Terengganu diisytiharkan pada tahun 1911.

Perlembagaan negeri di semua negeri di Malaysia merupakan asas kepada pembentukan Dewan Undangan Negeri masing-masing, serta menjadi panduan kepada pembentukan sesebuah kerajaan negeri.

Kenyataan Mahathir itu dibuat ketika pergeseran dengan istana Johor dalam isu pelantikan menteri besar Johor dan anggota majis mesyuarat kerajaan negeri.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Bersatu di ibu pejabat parti itu hari ini.

Beberapa pemimpin parti berkata mesyuarat itu bertujuan untuk mengkaji semula perlembagaan parti.

Anggota majlis tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin berkata sebahagian daripada semakan semula itu adalah untuk melindungi parti berkenaan daripada "politik wang".

Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata isu keahlian juga akan dikaji semula.

Beliau berkata pindaan berkenaan akan dibawa ke mesyuarat agung luar biasa parti, namun tarikh belum ditetapkan.


Lihat Komen