malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas KP Polis Perlis bidas panel RCI Wang Kelian
ADS

RCI WANG KELIAN | Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian bertukar tegang apabila salah seorang saksi membidas salah seorang panel kerana mempersoal profesionalisme polis dalam pengendalian kes tersebut.

Saksi ke-16, bekas Ketua Polis Perlis Zul Aznam Haron berkata, bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Razali Ismail tidak memahami tugas polis.

“Saya sebagai pesara polis saya faham bagaimana polis kerja. Tindakan polis mungkin Tan Sri tak faham, pada saya biarkan polis (siasat). Kita tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Sebelum itu Razali mempersoalkan Zul Aznam selama menjawat tugas ketua polis Perlis tidak mengetahui penempatan tersebut lebih awal kerana tiada tinjauan di kawasan berkenaan.

Selain itu, selepas penempatan tersebut dijumpai, beliau juga mempersoalkan mengapa anggota polis lambat bertindak sehingga memerlukan beberapa bulan sebelum kesemua mayat dibawa turun.

Untuk rekod, penempatan tersebut dijumpai pada 19 Januari manakala mayat dibawa turun secara berperingkat pada bulan Mei dan Ogos 2015.

Mengulas perkara itu, Zul Aznam berkata pihaknya sudah menghantar skuad elit pada pada Mac 2015 bagi membuat risikan dan tinjauan di kawasan berkenaan.

“Tan Sri tak faham penerangan saya, pasukan elit bukan tangkap orang, dia tinjau keadaan, buat mapping.

“Ini adalah tindakan awal, persediaan awal. Sebelum operasi berlaku kena tinjau, jadi kita tak boleh masuk terus macam tu kerana ini pasukan tinjau.

“Mereka masuk tak ramai, menyusup masuk. Jadi Tan Sri sebut tentang bertahun-tahun tak ada maklumat (sebab) kita perlukan maklumat risikan.

“Maklumat risikan tu tak mari langsung, walaupun di sebelah sana (pendatang Thailand) masuk ke sebelah kita,” tegasnya.

Khalid beri arahan tunggu dulu

Dalam soalan berasingan, Zul Aznam turut diminta menerangkan secara jelas mengapa tiada tindakan diambil pihak polis selama tiga bulan sejak tapak penempatan tersebut ditemui.

Zul Aznam memaklumkan bahawa selepas menyedari kewujudan kem itu, beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara ketika itu Khalid Abu Bakar bagi memaklumkan perkara tersebut.

Menurut Zul Aznam, khalid memberi arahan secara spesifik supaya ‘tunggu dulu’ bagi tindakan selanjutnya.

“(Kata Khalid) Hold on sebab perkara ini perlukan persediaan dan penelitian yang teliti kerana kes ini mempunyai impak yang besar kepada negara dan libat warganegara asing,” katanya.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.

Lihat Komen