malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Waytha percaya rakyat akan faham kepentingan Icerd
ADS

Menteri Perpaduan dan kesejahteraan sosial P Waythamoorthy percaya rakyat Malaysia akan memahami kepentingan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada masa akan datang.

Ini katanya selepas kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi konvensyen berkenaan pada 23 Nov tahun lalu susulan kekeliruan yang ditimbulkan sesetengah pihak.

"Buat masa ini, kita tidak boleh buat apa-apa sehingga rakyat memahami kepentingan Icerd. Kerajaan akan buatkan rakyat faham kenapa Icerd penting sebelum mengaturnya semula," katanya kepada pemberita dalam temubual sempena setahun pentadbiran kerajaan PH di Putrajaya hari ini.

Menurutnya Malaysia adalah antara lima atau enam negara yang masih belum meratifikasi konvensyen antarabangsa itu. 

Malah katanya kebanyakan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) juga menerima konvensyen berkenaan.

"Adalah sedih di Malaysia, konvensyen tersebut disalahtafsirkan oleh pihak tertentu. Ia tidak disambut kerana adanya pihak yang mempunyai agenda tertentu dalam isu ini memanipulasi fakta. Jadi, kerajaan mengambil keputusan kita masih tidak bersedia untuk ratifikasi Icerd," katanya.

Icerd diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1965 bertujuan menangani masalah perkauman.

Namun di Malaysia ia dilihat sebagai satu ancaman terhadap kedudukan istimewa orang Melayu (Artikel 153) dan Islam.

Malaysia merupakan salah satu daripada dua negara Islam yang tidak meratifikasi konvensyen berkenaan.

Waythamoorthy berkata semasa isu Icerd dibangkitkan di parlimen pada November lalu, pendirian kerajaan dinyatakan secara jelas bahawa konvensyen berkenaan tidak akan diratifikasi sehingga rakyat benar-benar memahaminya. 

Bagaimanapun katanya, pihak tertentu terutama pembangkang memainkan isu itu sehingga banyak tuduhan dilemparkan kepada kerajaan.

Tambahnya, perhatian hanya diberikan kepada isu-isu sensasi yang ditonjolkan media tanpa memberikan ruang dan penjelasan mengenai keperluan Icerd diratifikasi.

"Saya percaya adalah biasa bila rakyat tidak lihat kepada penjelasan sebaliknya tuduhan. 

"Jadi banyak tuduhan tidak sepatutnya dilemparkan, bukan sahaja terhadap saya tetapi kerajaan secara sepenuhnya," katanya menegaskan kerajaan baru tidak mengawal media seperti dilakukan kerajaan terdahulu.

Dalam perkembangan lain, Waythamoorthy mengakui pihak tertentu semakin galak menyemarakkan isu perkauman dan isu sensitif masyarakat Malaysia di media sosial.

"Dengan teknologi hari ini, ada pihak sengaja mencipta masalah dengan membuka akaun Facebook palsu untuk terus menyemarakkan isu-isu perkauman dan sensitif yang cuba menegangkan hubungan antara pelbagai komuniti negara ini," katanya.

Beliau memberi jaminan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak berkenaan.

Lihat Komen