malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Pasukan petugas khas tangani pencerobohan nelayan asing
Diterbitkan:  Apr 24, 2019 4:48 PM
Dikemaskini: 8:48 AM
ADS

Kabinet akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani masalah pencerobohan nelayan asing di perairan negara, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Selain KDN, katanya, pasukan itu turut disertai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar serta tujuh agensi penguatkuasaan.

Tujuh agensi berkenaan adalah ​​​​​​​Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Mereka akan mengatur operasi khas dalam tempoh yang segera dan diharapkan dengan tindakan ini maka pencerobohan nelayan asing tidak terus berlaku," katanya pada sidang media di KDN, di Putrajaya, hari ini.

Turut serta pada sidang media itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Menurut Muhyiddin, masalah pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam pada tahun ini semakin berleluasa dengan 41 bot telah ditahan oleh APMM, manakala Jabatan Perikanan menahan sebanyak 26 bot.

"Kes ini bukan baru tetapi akhir-akhir ini semakin meningkat mengikut musim kerana sekarang musim sotong. Mereka (nelayan asing) masuk dan tidak mengendahkan undang-undang perairan antarabangsa," katanya.

Ditanya sama ada tindakan penguatkuasaan sebelum ini kurang berkesan, Muhyiddin berkata setiap agensi menjalankan tugas dan operasi mengikut bidang masing-masing.

"Kalau gerakan dibuat secara bersepadu, bila mereka (nelayan asing) dengar kita datang, diharapkan mereka tak berani masuk dan ceroboh peraiaran kita.

"Jika mereka ceroboh juga, dengan aset yang lebih dan tenaga manusia yang dimobilisasikan maka mungkin kita boleh tahan mereka secara lebih baik," jelasnya.

SPRM teliti elemen rasuah

Muhyiddin berkata Malaysia melalui Kementerian Luar akan turut meminta pihak berkuasa Vietnam untuk menasihati nelayan mereka supaya tidak mencerobohi perairan negara.

Mengenai penglibatan SPRM, Muhyiddin berkata suruhanjaya itu dijemput supaya tidak berlaku penyelewengan dalam aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan pasukan tersebut.

"Kita tidak pasti kalau ada elemen-elemen rasuah berlaku tetapi pastinya itu (penglibatan SPRM) cara kita hendak mengambil tindakan supaya penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih berkesan," katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata pencerobohan nelayan asing menyebabkan negara kehilangan hasil laut sehingga RM6 bilion setiap tahun.

Beliau turut menjelaskan bahawa kementeriannya tidak pernah memberi lesen atau permit kepada nelayan asing untuk menangkap hasil laut dalam kawasan perairan negara.

"Mungkin berlaku penyelewengan di mana mereka mempergunakan lesen tertentu, tetapi secara rasminya kementerian tidak pernah memberi lesen kepada bot-bot asing untuk beroperasi," katanya.

- Bernama

Lihat Komen