malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ummah mahu demo bantah PPSMI-DLP Mei ini
Diterbitkan:  Apr 23, 2019 6:33 PM
Dikemaskini: 10:33 AM
ADS

Suatu perhimpunan aman besar-besaran bagi membantah cadangan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris - Dual Language Programme (PPSMI-DLP) akan diadakan pada awal bulan Mei ini, kata Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Sekretariat Ummah Mohd Zai Mustafa dipetik laporan Harakahdaily berkata pelaksanaan semula PPSMI-DLP akan menggugat hak keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Pelaksanaan semula PPSMI-DLP akan menggugat hak keistimewaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Akta Pendidikan 1996.

"Seterusnya (Ummah) akan menganjurkan himpunan rakyat besar-besaran secara aman seperti anti-Icerd bagi membantah pelaksanaan semula PPSMI-DLP bertempat di ibu negara pada awal Mei sebelum Ramadan nanti," katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd Zai, bantahan terhadap PPSMI-DLP tidak bermaksud Ummah memusuhi bahasa Inggeris, sebaliknya gabungan itu menggesa Kementerian Pendidikan mempertingkat prasarana pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.

Saranan piagam Unesco

"Kami bukan anti-Bahasa Inggeris malah sangat setuju ianya diperkasakan sebagai bahasa kedua dan bahasa tambahan bagi meningkatkan ilmu.

"Kami menegaskan bahawa bagi meningkatkan mutu dan kualiti standard Sains dan Matematik di peringkat antarabangsa, berdasarkan prestasi penilaian Pisa dan Timms maka, semua subjek ini mestilah diajar semula dalam bahasa kebangsaan juga bahasa ibunda sepertimana saranan piagam Unesco (pendidikan).

"Sebagaimana tahun 2003 markah score sains pelajar Malaysia ialah 510 berada di atas markah purata dunia iaitu 500," jelasnya lagi.

PPSMI yang diperkenalkan sejak 2003 itu mengundang bantahan meluas sehingga mendorong perhimpunan besar di Kuala Lumpur diketuai Sasterawan Negara A Samad Said dan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka allahyarham Hassan Ahmad.

Dasar itu dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

DLP bukan sistem wajib

Bagaimanapun, Gerakan Mansuh PPSMI pada 2015 berkata terdapat usaha mengembalikan program berkenaan melalui Program Dwi-Bahasa (DLP).

Pada masa ini, terdapat kira-kira 1,300 sekolah di seluruh negara menggunakan program dwi bahasa (DLP), di mana pengajaran sains dan matematik dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, DLP bukan sistem wajib dan terserah sekolah untuk memilih melaksanakannya atau tidak.

Pada 8 April lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memaklumkan PPSMI di sekolah kebangsaan telah dilaksanakan semula tanpa sebarang pengumuman dibuat oleh kerajaan BN sebelum ini.

Perdana menteri dipetik wawancara bersama NST berkata pentadbiran terdahulu memilih sekolah-sekolah yang dibenarkan untuk mengajar mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris, manakala yang lain pula "enggan" berbuat demikian.

"Kami sebenarnya melaksanakan (PPSMI) sekarang tapi tanpa mengumumkannya.

"Pentadbiran terdahulu, kerana desakan mereka membenarkan sesetengah sekolah, sekolah-sekolah terpilih untuk mengajar dalam bahasa Inggeris tetapi terdapat juga sekolah yang enggan mengajar (sains dan matematik) dalam bahasa Inggeris," katanya 

Lihat Komen