Pengiklanan

    Kereta pengarah JSJ Narkotik hilang minggu lalu ditemui

    (Dikemaskini )

    Kenderaan rasmi pasukan polis yang digunakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mohmad Salleh yang sebelum ini disyaki dicuri di Kajang, ditemui di Teluk Intan, Perak, petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata pasukan JSJ Hilir Perak telah mengesan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire warna hitam dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah bangunan di Taman Melor Sejati @ Sejati Waterfront di Teluk Intan.

    Beliau berkata kenderaan berkenaan ditemui pada pukul 5 petang.

    "Ketika ini kenderaan terbabit berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan.

    Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.

    Beliau berkata walaupun kenderaan itu telah lama ditinggalkan, ia tidak diusik oleh mana-mana pihak dan yakin suspek meninggalkan kenderaan itu kerana takut, selepas kehilangan kenderaan itu tular di media sosial.

    "Sekarang ini dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan, dan kami menemui beberapa cap jari pada kereta berkenaan dan ia akan dianalisis oleh forensik.

    "Selain itu, kami juga mendapati kereta berkenaan turut menggunakan nombor plat pendaftaran palsu, manakala tiada barang berharga yang hilang antaranya seperti sistem audio," katanya.

    Razarudin berkata siasatan kes masih berjalan dan polis mempergiatkan usaha memburu kesemua suspek yang terlibat dengan kehilangan kereta itu.

    Pada Khamis lepas sebuah kenderaan MPV polis yang digunakan Mohmad dilaporkan hilang, dipercayai dicuri dekat sebuah restoran di Sungai Ramal, Kajang dekat sini.

    -Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih