malaysiakini logo
story-image
ADS

PANDUANKINI | Kira-kira 4.1 juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka berdepan gangguan bekalan air sehingga 86 jam bermula Rabu ini. Ia akan menjadi antara gangguan air terbesar dalam sejarah Lembah Klang.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) berkata gangguan itu akan melibatkan 577 kawasan di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Dalam Kiniguide kali ini, Malaysiakini menjelaskan apa yang anda perlu tahu berkenaan gangguan air ini.

Apakah punca gangguan?

Span berkata gangguan kali ini susulan kerja penambahbaikan sistem paip dan kabel elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) yang memerlukan loji ditutup buat sementara.

Dalam sidang media minggu lalu, Pengerusi Span Charles Santiago berkata sistem paip dan kabel elektrik 32 kiloWatt memerlukan penambahbaikan segera bagi mengelakkan letupan sistem dan gangguan tidak terancang.

Pada Disember lalu, kata Santiago, pihaknya merancang membuat kerja penambahbaikan pada Julai ini, tetapi keadaan kian memburuk. Justeru, Span telah meluluskan agar ia dipercepatkan.

Span juga mengambil kira kemungkinan letupan berlaku, ia akan menjejaskan kehidupan penduduk di bulan Ramadan dan Hari Raya.

Siapa yang terkesan?

Menurut Span, sejumlah 620,835 akaun atau 4,145,465 pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor akan terkesan. Ia termasuk premis komersial dan industri seperti kilang dan hotel.

Santiago berkata jumlah itu merangkumi 25 peratus pengguna Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Berapa lama gangguan akan berlaku?

Berdasarkan jadual Syabas, gangguan bekalan air untuk semua kawasan terlibat akan bermula jam sembilan pagi, 24 April (esok).

Bagaimanapun tempoh gangguan berbeza mengikut kawasan.

Ada kawasan terjejas sehingga 11 pagi Jumaat (26 April); 11 malam Jumaat; atau 11 malam Sabtu (27 April).

Ia untuk kawasan dalam Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam dan Petaling.

Kawasan dalam Gombak dan Kuala Langat akan mengalami gangguan sehingga 11 pagi atau 11 malam Jumaat.

Sementara itu, mereka yang tinggal di sepuluh kawasan terjejas dalam Kuala Selangor, termasuk Universiti Teknologi Mara kampus Puncak Alam, akan berdepan gangguan sehingga 11 malam Jumaat.

CEO Air Selangor Sdn Bhd Suhaimi Kamaralzaman bagaimanapun berkata, mereka menjangka bekalan air akan pulih di 50 peratus kawasan terjejas dalam masa 24 jam selepas kerja penambahbaikan selesai.

Laman web Syabas memaklumkan tempoh pemulihan bekalan air selepas loji kembali menerusi berbeza mengikut kawasan, bergantung kepada lokasi dan altitud.

Anda boleh semak senarai penuh kawasan terjejas di sini.

Apa persediaan yang perlu dibuat?

Span menyatakan ia akan memberi tumpuan kepada pengekalan bekalan air di premis penting seperti hospital dan pusat dialisis.

Pengguna dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air yang cukup untuk 48 jam.

Syabas akan membantu membekalkan air sepanjang tempoh itu melalui tangki air di kawasan perumahan, selain mengedarkan air botol.

Ia juga akan mengaktifkan pusat khidmat setempat pada pukul lapan pagi Jumaat. Alamat penuh pusat-pusat tersebut di sini.

Pengguna juga boleh meminta Syabas membekalkan air jika berlaku kecemasan seperti pengebumian serta acara seperti majlis perkahwinan. Untuk tujuan itu, pengguna boleh menghubungi hotline Air Selangor di 15300, atau menerusi WhatsApp (019-2816793/019-2800919).

Sektor komersial dan industri boleh membeli air di pejabat Air Selangor dan pusat pengisian seperti berikut:

Klang

  • Kolam Sungai Kapar Indah C, Lebuh Sungai Kapar Indah.

Petaling

  • Jalan TKP 2/2, Taman Perindustrian Kinrara, Puchong.
  • Jalan 1/1, Taman Metro Puchong.

Gombak

  • Jalan Mutiara 1, Taman Selayang Mutiara, Bandar Baru Selayang.

Hulu Langat

  • Pejabat Pertanian Daerah Hulu Langat, Batu 11, Jalan Cheras.

Kuala Selangor

  • Simpang 3, Jalan Bukit Belimbing, Kampung Permatang, Kuala Selangor.

Adakah pengguna akan mendapat rebat?

CEO Air Selangor berkata tiada rebat yang akan diberikan memandangkan notis awal gangguan bekalan air telah dikeluarkan.


KINIGUIDE ini disediakan oleh Faisal Asyraf.

Lihat Komen