malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiba masa Umno bebas dari nostalgia Melayu elit, aristokrat
ADS

ULASAN | Kemenangan di Rantau bukan sahaja manis, tetapi sangat penting. Penting kerana beberapa sebab.

Pertama ia menghantar isyarat yang sangat jelas - bahawa Umno masih segar dan berdaya tahan. Politik gaya BN masih terus unggul dan relevan.

Ramai sekali yang telah menalkinkan Umno semenjak ia kalah dalam PRU ke-14. Segala macam panggilan dan sumpahan dilemparkan. Ada tokoh tertentu yang

dengan sombong mengatakan Umno telah musnah, hancur dan tidak punya apa-apa nilai sekalipun.

Ramai parti politik bersekutu keluar meninggalkan BN. Beberapa ahli parlimen Umno juga meninggalkan perjuangan. Yang tinggal adalah mereka yang setia dan kasih pada parti ini. Tanpa segan dan rasa malu, mereka inilah yang terus memperjuangkan UMNO.

Mereka bukanlah tokoh besar yang mempunyai pelbagai gelaran serta kedudukan dalam parti, tetapi hanya ahli biasa dan orang kecil. Tetapi mereka sangat memahami bahawa kekalahan dalam PRU bukan alasan untuk meninggalkan Umno. Mereka tidak bubarkan cawangan di kampung, tetapi terus menyusun segala gerak kerja parti. Mereka bersedia untuk berubah dan bangkit kembali.

Saat Umno tidak berkuasa dan tidak mempunyai apa-apa, mereka tetap berikan yang terbaik. Pada saya, inilah keikhlasan. Inilah daya tahan sebenar Umno iaitu orang biasa yang mendukungnya dan tidak pernah berharap apa-apa.

Mereka mendukungnya kerana bagi mereka Umno ialah gerakan yang telah lama memberikan pencerahan dan kebaikan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Dengan segala kebaikan Umno dan segala kelemahan pemimpinnya, ini ialah wasilah perjuangan mereka.

Kedua, kemenangan di Rantau sangat bermakna kerana ia kemenangan ‘semua untuk semua’. Bukan Umno dan BN sahaja yang menang, PAS juga menang. Menang bukan sahaja kerana undi Melayu, tetapi juga kerana kembalinya undi dari kaum India dan Cina.

BN telah mula mendapat rentak untuk mengatasi halangan psikologi bukan Melayu. Hari demi hari, mereka mula kembali bertaut dengan BN dan politik muafakat yang dianjurkannya.

Kembalinya sokongan bukan Melayu

Itulah sebabnya ia kemenangan oleh semua untuk semua. BN boleh melakukannya kali ini kerana dua faktor utama.

Faktor pertama ialah kewibawaan calonnya. Mohamad Hasan ialah ahli politik yang tidak mempunyai masalah integriti, dihormati kerana pesona dan karismanya yang

santun, berilmu serta merendah diri. Beliau adalah calon yang sinonim dengan rakyat biasa pelbagai kaum, dan dilihat calon yang boleh mewakili semua lapisan masyarakat.

Selagi Umno dan BN mengemukakan calon yang mempunyai integriti dan dihormati susuknya, pengundi pasti akan memilih yang terbaik.

Faktor kedua ialah pengundi tidak lagi yakin dengan segala cerita PH. Setelah hampir setahun, Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya gagal mengemukakan ‘citra baru untuk tanahair’. Kerajaan pimpinannya rapuh dan pemerintahannya menuju kegagalan.

Politik toksik, salah-menyalah, singkir-menyingkir, sindir-menyindir telah menjadi kelaziman dan mantera baru PH. Tidak kelihatan idea, pendekatan, sistem dan hala tuju baru yang seharusnya menjadi asas 'Malaysia Baru'.

Maka di Rantau, rakyat memilih untuk menolak PH. Biarpun bakal perdana menteri Malaysia sendiri yang turun berkampung dan berkempen di sana. Beliau mengerahkan segenap pasukan dalam PKR untuk turun termasuklah Rafizi Ramli, susuk yang tidak pernah kering dengan formula dan cerita sensasi.

Bukan sahaja menteri sumber manusia yang tida ketinggalan untuk berkempen, malah menteri pengangkutan dan menteri kewangan tanpa berlengah memberi kepastian bahawa projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan juga melintasi dan melibatkan Rantau.

Biarpun ini adalah satu pilihan raya kecil, ia sebenarnya menjadi misi dan agenda besar kepada kerajaan. Jadi tidak pelik jika ada yang melihat keputusan PRK Rantau bukan sahaja satu kemenangan kepada Mohamad Hasan dan BN, tetapi kekalahan Anwar Ibrahim dan PKR secara khusus.

Pemimpin baru untuk Umno

Pengajaran ketiga yang sangat penting di Rantau ialah persoalan adakah Mohamad Hasan telah melepasi ujian ketokohan untuk memimpin bukan sahaja pergerakan politik seperti Umno, tetapi juga negara?

Umum mengetahui beliau menang kerana wibawa, pendirian sederhana dan pendekatan politik progresifnya. Bolehkah kemenangan di Rantau ditafsirkan sebagai mandat yang telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin utama Umno?

Saya tiada jawapannya tetapi yang jelas ialah beliau berjaya meyakinkan pengundi bukan Melayu untuk mula kembali memilih BN. Ternyata orang Melayu dan bukan Melayu selesa dengan pesonanya dan menerima kekuatan dan wibawanya.

Setelah kemenangan di Rantau, saya rasa telah tiba masanya Umno mengorak langkah menonjolkan dengan jelas pemimpin masa hadapannya. Kita mesti mengangkat tokoh yang mempunyai ciri-ciri dan karakter yang diperlukan untuk memulihkan dan memimpin Umno dan BN ke arah kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Terutama sekali pada waktu ini, kita mesti dipimpin oleh tokoh yang mampu menterjemahkan kerjasama Umno-PAS secara konkrit dan jalan berhikmah, biarpun pada mulanya kerjasama ini dipandang sinis dan negatif oleh banyak pihak.

Secara kasar, kita boleh simpulkan bahawa orang Melayu dan bukan Melayu telah menghantar isyarat jelas tentang tokoh bagaimana yang mereka mahukan untuk memimpin negara ini melalui PRK Rantau.

Umno harus mengambil peduli isyarat jelas ini - bahawa penyelesaian kepada kemelut Umno sebenarnya ada di kalangan pemimpinnya.

Untuk berkuasa semula, Umno dan BN mesti dipimpin oleh pemimpin baru dengan wibawa dan citra baru. Parti ini harus membebaskan dirinya dari dibelenggu nostalgia kepimpinan golongan elit dan aristokrat.

Masa depan Umno menjangkaui legasi pemimpin sebelum ini yang kita iktiraf jasa dan sumbangannya.

Telah tiba masanya Umno dipimpin oleh golongan kebanyakan yang setanding ilmu, karisma, visi dan wibawanya dengan pemimpin elit Melayu terdahulu.

Sama ada Mohamad Hasan adalah tokohnya untuk Umno, BN dan Malaysia, terpulanglah kepada parti dan ahlinya untuk menentukan. Yang jelas, Umno harus membuka ruang untuk pemimpin baru terus ke hadapan dan memimpin dengan dukungan tidak berbelah bahagi.


MOHAMED KHALED NORDIN merupakan naib presiden Umno.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen