malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan timbang wujudkan lesen orang tengah
ADS

WAWANCARA | Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menimbang idea mewujudkan lesen orang tengah dalam usaha mengawal sesetengah golongan itu yang menaikkan barang sesuka hati.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata pelesenan akan memudahkan kerajaan memantau orang tengah dalam aspek harga, lokasi penjualan dan jumlah hasil pertanian yang boleh dibeli mereka.

“Masalah utamanya siapa orang tengah ini? Kita boleh kenal melalui beberapa kriteria. Kalau kita boleh kenal pasti mereka, kenapa tidak kita berjumpa mereka dan lesenkan mereka.

“Itu idea peringkat awal yang bukan mudah untuk dilaksanakan tetapi kalau tak bermula dari sekarang, kita tak boleh buat apa-apa dalam isu orang tengah," katanya ketika wawancara bersama media di Menara Lembaga Petubuhan Pelandang (LPP) di Kuala Lumpur, semalam.

Salahuddin berkata antara langkah segera bagi menangani isu itu pula dengan mewujudkan aplikasi pemasaran dalam talian.

Kata anggota parlimen Pulai itu, salah satu masalah yang dihadapi dalam isu itu ialah kekeliruan yang timbul apabila pemborong juga mungkin berperanan sebagai orang tengah.

"Kita tak boleh hapuskan mereka (orang tengah) kerana kadang-kadang kita keliru - pemborong itu mungkin juga orang tengah. Kadang-kadang mereka ada dua wajah juga.

“Sebab itu bukan hanya kementerian pertanian (untuk selesaikannya) tapi lima kementerian perlu duduk betul-betul untuk bincang perkara ini,” katanya lagi.

Beliau merujuk Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Orang Tengah yang dianggotai empat lagi kementerian lain iaitu Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Menurut laporan Utusan Malaysia 18 April lalu, jawatankuasa tersebut dijangka membentangkan cadangan penyelesaian dalam masa dua bulan lagi.

Beliau berkata hasil pengurangan orang tengah setakat ini, sejumlah 113 usahawan dan 25 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menerima manfaat hasil model perniagaan industri pengeluaran ayam, manakala 128 pasar nelayan dan 532 nelayan mendapat untung lebih tinggi.

Dalam wawancara semalam, Salahudin turut memaklumkan inisiatif kementeriannya yang menurutnya telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 nelayan, penternak dan usahawan muda sepanjang kira-kira setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Antaranya program Agro Nisaa'-i oleh Agrobank yang memberi kemudahan pembiayaan mikro kepada 1,719 usahawan wanita, yang kebanyakannya daripada golongan B40 (berpendapatan rendah) dengan jumlah RM5.4 juta setakat bulan lalu.

Selain itu, katanya lagi, Program Agropreneur pula memberi manfaat kepada 403 usahawan muda dengan jumlah peruntukan RM6.2 juta.

Beliau berkata antara rancangan jangka panjang kementerian adalah meningkatkan pendapatan pesawah melebihi RM3,000 sebulan menjelang 2030.

Kementerian juga ingin meningkatkan jualan hasil nelayan dan tahap sara diri (SSL) industri pedaging kepada 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Lihat Komen