BERITA

Lim: Prestasi ringgit perlu dinilai secara tahunan

Zikri Kamarulzaman

23 Apr 2019, 1:03 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

WAWANCARA | Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata prestasi ringgit seharusnya dinilai secara tahunan, bukannya mengikut harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada langkah fiskal sedang dilaksana untuk menyokong mata wang itu selepas ia merosot ke nilai terendah dalam tempoh tiga bulan, minggu lalu.

"Kalau kita buat unjuran harian, itu kurang tepat... Kerana ringgit atau pasaran (mata wang) setiap hari naik dan turun, itu biasa.

"Lebih baik (untuk) kita buat unjuran secara tahunan," katanya ketika wawancara bersama media semalam.

Selasa lalu, ringgit jatuh ke paras 4.1285 berbanding dolar AS (penurunan 0.54 peratus) - terendah sejak 25 Januari 2019.

Semalam ia terus jatuh ke paras 4.1300.

Pada tempoh sama tahun lalu, ringgit didagang pada kadar kira-kira 3.8900 berbanding dolar AS.

Bloomberg sebelum ini melaporkan penurunan ringgit pada masa ini disebabkan kebimbangan pengeluaran modal daripada Malaysia.

Laporan The Star pada 13 April lalu memetik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata, kerajaan mungkin akan memperkenal langkah bagi melindungi ringgit jika spekulator terus menyerang mata wang itu.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.