malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
2 pakar saksi inkues Adib buat laporan polis
Diterbitkan:  Apr 23, 2019 8:40 AM
Dikemaskini: 12:40 AM
ADS

Dua pakar forensik yang menjadi saksi dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim telah membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata laporan itu diklasifikasi di bawah Seksyen 189 Kanun Keseksaan berkenaan ugutan bencana kepada penjawat awam.

"Pada 20 April 2019, lebih kurang jam 9.28 malam, dua orang doktor pakar daripada Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur telah membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya.

"Kedua-dua mereka ialah saksi doktor pakar dalam inkues kematian Muhammad Adib," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis tidak akan membuat sebarang kenyataan lanjut berkenaan perkara itu memandangkan inkues masih berjalan.

Setakat ini dua pakar dari HKL yang telah memberi keterangan ialah Ketua Jabatan Perubatan Forensik Dr Mohd Shah Mahmood dan pakar perubatan forensik Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Mereka berdua dilaporkan berkata Adib keluar daripada van EMRS secara sendiri melalui pintu penumpang sebelah kiri, dilanggar oleh van yang mengundur yang menyebabkannya terjatuh ke tanah.

Bagaimanapun beberapa perkara dalam laporan mereka dikritik seorang lagi pakar. Mahkamah Koroner hari ini akan memutuskan sama ada akan memanggil Hafizam dan Mohd Shah semula.

Adib yang cedera parah ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November lalu meninggal dunia beberapa minggu kemudian ketika dirawat di Institut Jantung Negara.

Inkues diadakan bagi menentukan punca kematiannya.

Lihat Komen