malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pegawai SB: Pihak berkuasa Thai 'galak' Pati masuk M'sia
ADS

RCI WANG KELIAN | Pasukan perisikan Malaysia sebelum ini mendapat maklumat pihak berkuasa Thailand telah menghantar pendatang tanpa izin (Pati) untuk ditahan di kem sementara berhampiran sempadan Thailand-Malaysia.

ASP Jamaluddin Shah Mohd Jawan, yang ditempatkan di sempadan sebagai pegawai Cawangan Khas (SB) dari tahun 2006 hingga 2015, percaya pihak berkuasa Thailand secara tidak langsung "menggalakkan" pendatang untuk menyeberang masuk ke Malaysia.

Memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian hari ini, pegawai SB itu berkata beliau mendapat tahu pendatang tanpa dokumen sah yang ditahan di beberapa bahagian Thailand dihantar ke kem sementara di bandar sempadan Sadao, yang terletak berhampiran Genting Perah di Perlis.

"Sekiranya lokap mereka di daerah lain penuh, tahanan akan dihantar ke selatan.

"Kami melihat ini sebagai alasan untuk membawa tahanan ke Sadao dan kemudian ke Padang Besar (di Perlis) sebelum masuk ke negara kita," katanya.

Kubur, rangka manusia

Ditanya oleh Timbalan Pengerusi RCI Norian Mai jika beliau membayangkan pihak berkuasa Thailand secara tidak langsung menggalakkan tahanan berkenaan untuk masuk ke Malaysia, Jamaluddin menjawab: "Ya".

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, ya.

"Dan saya perhatikan kem sementara Thailand adalah sama dengan kem (hutan) yang kita temukan di negara kita.

"Tidak ada satu perkara yang kami dapati di kem-kem hutan datang dari negara kita," katanya sambil menjelaskan binaannya juga serupa.

Kem-kem hutan yang disebutnya itu merupakan kem pemerdagangan manusia yang pertama kali ditemui pihak polis pada Januari 2015 di dalam hutan di Wang Kelian, Perlis. 

Turut ditemukan ketika itu, kubur dan rangka manusia.

Jamaluddin berkata syak wasangkanya dapat disahkan melalui temu bual dengan pendatang tanpa izin yang ditangkap oleh polis Malaysia.

"Para pendatang yang tiada dokumen sah yang memasuki Malaysia ialah orang sama yang pernah ditahan di Thailand," katanya.

Menurut bekas pegawai SB itu beliau telah melaporkan semua maklumat berkenaan kepada atasannya untuk tindakan susulan.

Ditanya sekiranya beliau percaya bahawa pihak berkuasa Malaysia bersubahat dalam kegiatan itu, Jamaluddin berkata tidak.

"Kebanyakan dari pihak sebelah sana. Di pihak Malaysia, kami tidak terlibat secara langsung [...] tetapi mungkin beberapa orang mengambil kesempatan daripada keadaan itu," jawabnya.

Bagaimanapun, Jamaluddin menegaskan beliau telah menasihatkan Majlis Keselamatan Negara (NSC) pada masa itu untuk memperkukuh sempadan Malaysia supaya mengelakkan pencerobohan, tetapi tidak berjaya.

Ini terutamanya di kawasan sepanjang banjaran gunung sepanjang 11km di Perlis di mana tiada apa yang memisahkan perbatasan kedua-dua negara. Tidak juga polis meronda kawasan tersebut dengan kerap kerana kawasan yang mencabar.

"Saya sudah meminta NSC membina tembok atau pagar di sana.

"[...] Untuk ke sana dari balai polis terdekat, anda perlu bergerak sehingga 700 hingga 800 meter. Kawasan ini sangat berbukit dan sukar untuk sampai ke sana," katanya.

Jamaluddin juga diminta mengesahkan senarai rakyat Malaysia yang didakwa bersubahan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Katanya, "beberapa" nama dikenali kerana mereka sebelum ini dipantau oleh SB.

Apabila ditanya untuk mendedahkan individu yang dipantau, Jamaluddin enggan menjawab dan memberi isyarat kepada Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Abd Halim, yang sedang menjalankan prosiding, bahawa maklumat itu tidak dapat didedahkan kepada orang ramai.

Ketika itu, pengerusi RCI yang juga bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria meminta wakil media dan orang awam meninggalkan bilik prosiding RCI dan kemudian ia dijalankan secara tertutup selama 30 minit.

Selepas media dibenarkan masuk semula, saksi kelapan pesara polis berpangkat subinspektor Abdul Rahman Kashim yang juga bekas ketua Balai Polis Kaki Bukit, Perlis dari 2005 hingga 2014 tampil memberi keterangan.

Turut memberikan keterangan ialah saksi kesembilan Koperal Roshaidi Hussin yang bertugas di Pondok Polis Wang Kelian, Perlis dari 2012 hingga kini.

Saksi terakhir yang memberikan keterangan hari ini ialah bekas ketua Balai Polis Kaki Bukit dari Januari 2015 hingga Jun 2016, Zainuddin Hussin yang juga berpangkat subinspektor ketika itu.

Ketiga-tiga mereka dalam keterangan masing-masing berkata tidak pernah tahu-menahu mengenai kem pendatang asing dan kubur di Wang Kelian sehinggalah Pasukan Gerakan Am (PGA) menemui lokasi itu pada Januari 2015.

Ketiga-ketiga mereka berkata bidang tugas mereka hanya melakukan rondaan, menahan pendatang tanpa izin dan memantau kes jenayah di kawasan perumahan Wang Kelian, Kampung Wang Kelian, Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar dan pekan Wang Kelian.

Pendengaran awam RCI akan bersambung esok.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen