malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Kalau boleh PH selamanya bukan k'jaan sepenggal
ADS

WAWANCARA Dakwaan kerajaan PH tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik dan mampu bertahan hanya sepenggal hanyalah sekadar persepsi semata-mata, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Menjelaskan lanjut, pemimpin Amanah itu berkata pentadbiran sekarang telah melakukan tugasnya dengan baik.

“Itu perasaan orang luar, kami berkerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tak berhenti dan dapat lihat hasil-hasilnya.

“Dan kalau orang luar nak lihat kami sepenggal itu, orang luarlah tapi tanggungjawab saya buat yang terbaik. Kita boleh buat kerja dan pastikan disiplin, telus dan berani strukturkan kembali agensi atau mana-mana badan yang lakukan penyelewengan, saya perlu sokongan dari pegawai-pegawai saya.

“Jadi tak timbul masalah sepenggal lagi, kalau boleh (PH) selamanya tapi kita akan buat dan yakinkan rakyat, beri kita masa,” katanya.

Salahuddin berkata demikian dalam sesi wawancara bersama pemberita di Menara Lembaga Petubuhan Pelandang (LPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Salahuddin turut ditanya mengenai pencapaian menteri PH yang dianggap tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik seperti ketua mereka Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas perkara itu, Salahuddin berkata tiada kajian yang boleh disandarkan berdasarkan kenyataan berkenaan.

“Itu persepsi mungkin. Tapi kalau Dr Mahathir sebagai perdana menteri menegur kami sebagai anggota kabinet yang masih belum capai prestasi seumpanya, saya sebagai menteri pertanian saya sedar, saya bermula dari kosong.

“Jadi kita harus tunjukkan kita mampu bekerja, jangan tidur di rumah (saja), jangan buat penyelewengan, jangan makan rasuah tapi tunjukkan apa perancangan kita.

“Saya boleh tunjukkan kepada rakyat ini buku saya, saya lakukan dengan keringat, usaha dan air mata. Jadi saya akan berpegang di sini.

“Jadi kalau orang luar kata pasukan Dr Mahathir lemah, saya tak rasa begitu, kerana apa yang kami buat lebih penting daripada cakap-cakap saja," katanya.

Lihat Komen