malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri persoal rasional AS keluarkan nasihat perjalanan
ADS

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Mohammadin Ketapi mempertikaikan langkah Amerika Syarikat mengeluarkan nasihat perjalanan yang meletakkan Malaysia dalam senarai negara 'K' yang mempunyai risiko penculikan.

Anggota parlimen Sabah itu mempersoalkan rasional di sebalik keputusan kerajaan AS mengeluarkan amaran itu dengan mensasarkan kawasan parlimen beliau.

"Tak tahu bijak ke tak bijak. Negara ini tak ada masalah. Yang sebetulnya Amerika jauh dari sini, (tapi bagaimana) dia lebih tau ada masalah.

"Yang kawasan tu kawasan saya," kata anggota parlimen Silam itu ketika wawancara media menjelang ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) bulan depan.

Beliau merujuk beberapa lokasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lahad Datu yang dilapor menyaksikan kejadian nelayan diculik yang dipercayai menjadi sebab nasihat perjalanan itu dikeluarkan.

Mengulas lanjut, Mohammadin berkata isu ancaman penculikan hanya dilakukan oleh pihak yang terdesak untuk mendapatkan wang.

"Ini hanya berlaku sebagai satu cara nak dapat duit. Tapi saya siang malam di situ tiada masalah. Orang pergi memancing," katanya menambah kawasan itu juga berada di bawah pemantauan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscomm).

Sebelum ini pelbagai laporan media mengenai kes penculikan dan tebusan di sepanjang pantai timur Sabah dikaitkan dengan kumpulan militan Abu Sayyaf yang beroperasi di pulau-pulau yang bersempadan dengan selatan Filipina.

Dilaporkan bulan lepas pasukan keselamatan Malaysia menerima laporan risikan bahawa kumpulan bersenjata Abu Sayyaf berada di perairan Sabah untuk memburu tebusan baru bagi membiayai aktiviti mereka.

Ketua Polis Negara, Fuzi Harun minggu lalu berkata nasihat perjalanan yang dikeluarkan AS itu perlu ditarik balik kerana bercanggah dengan jumlah ketibaan pelancong, termasuk di Sabah.

Menurut laman web kementerian, Malaysia merekodkan ketibaan pelancong sebanyak 25.83 juta tahun lepas, daripada sasaran awalnya sebanyak 33.1 juta pelawat.

Ditanya mengenai usaha meningkatkan jumlah pelancong, Mohammadin berkata kementeriannya mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti pameran pelancongan di luar negara, termasuk yang akan diadakan di Dubai minggu depan.

Selain melibatkan wartawan ketika lawatan ke luar negara, Mohammadin juga memaklumkan rancangan untuk menjemput wartawan asing ke negara ini, dengan harapan mereka dapat mempromosikan Malaysia di negara masing-masing.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen