malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Sebuah syarikat tempatan berminat untuk membeli dan mengambil alih syarikat National Feedlot Corporation (NFC) bagi membangunkan semula projek ternakan lembu yang gagal ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, beberapa siri rudingan telah diadakan dengan pihak tersebut, termasuk yang terakhir pada minggu lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, NFC hanya boleh dijual sekiranya syarikat itu bersetuju membayar pinjaman yang telah dibuat sebanyak RM250 juta kepada Kementerian Kewangan.

“Sekarang ini ada syarikat lain yang mahu membeli syarikat asal NFC. Kementerian mengambil sikap untuk memudahkan urusan itu dan kami melihat terma perundangan berkaitan.

“Tapi, saya dimaklumkan antara syarat urus niaga itu berjalan adalah syarikat berkenaan sedia untuk memulangkan kembali pinjaman yang diberikan oleh Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini.

“Jika syarikat yang mengambil alih NFC itu berjaya untuk memulangkan kembali pinjaman itu kepada MOF, bagi saya itu sudah cukup bagus.

“Sudah tentu dengan pelaburan yang begitu besar, saya yakin syarikat baru ini akan dapat membina kembali projek ruminan berkenaan,” katanya.

Salahuddin berkata demikian dalam sesi wawancara bersama pemberita di Menara Lembaga Petubuhan Pelandang (LPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Berkaitan tanah projek NFC di Negeri Sembilan pula, Salahuddin berkata kementeriannya juga sedia untuk memudahkan perolehan tanah kepada syarikat berkenaan daripada kerajaan negeri.

“Kita akan mudahkan jika nasihat MoA kepada kerajaan negeri diperlukan, tetapi hak memberi itu tetap di tangan kerajaan Negeri Sembilan,” katanya yang mahu pengambilalihan NFC itu diselesaikan secepat mungkin.

Penjenamaan semula NFC

NFC ditubuhkan untuk membangunkan industri daging lembu terancang, bersepadu dan mampan bagi meningkatkan bekalan daging tempatan sebanyak 30 peratus.

Masalah timbul apabila Pengerusi Eksekutifnya Dr Mohamad Salleh Ismail disiasat dan didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai keseluruhan RM49.7 juta.

Namun mahkamah kemudian melepaskan dan membebaskan Mohamad Salleh daripada semua pertuduhan jenayah pada 25 November 2015.

Jun tahun lalu Salahuddin berkata pihaknya akan mengambil langkah penjenamaan termasuk memberi nama lain bagi menghidupkan semula projek itu yang terjejas ekoran kontroversi yang melanda NFC ini.

Katanya penjenamaan semula projek itu perlu dilakukan segera dalam usaha kerajaan mencapai sasaran meningkatkan penghasilan daging tempatan sebanyak 30 peratus sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap daging import.

Lihat Komen