BERITA

SB jumpa tulang manusia berselerakan di kem dalam hutan

Annabelle Lee

22 Apr 2019, 6:30 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

RCI WANG KELIAN | Selain menemukan kubur dan kem pemerdagangan manusia, polis juga menjumpai rangka tulang manusia di kem berkenaan yang terletak jauh di dalam hutan dekat sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis, pada tahun 2015.

Memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian hari ini, bekas pegawai Cawangan Khas (SB) ASP Jamaluddin Shah Mohd Jawan berkata pasukannya mendaki Bukit Wang Burma di Wang Kelian pada 15 Ogos 2015 dan menemukan enam rangka tulang manusia yang terdedah di sebuah kem hutan terbiar.

"Rangka itu berada di dalam kem, bukan di dalam kubur. Kem tersebut dibuat daripada kayu dan ditutup dengan kanvas. Di situlah rangka tulang itu ditemukan.

"Kami menjumpai enam rangka tulang di atas pelantar," katanya.

Jamaluddin berkata menemukan rangka tulang itu dalam keadaan "berselerakan."

Sepanjang operasi itu, polis juga menjumpai 20 kubur, yang kemudian digali dan 20 mayat ditemukan di dalamnya.

Gambar-gambar rangka tulang dan kuburan telah dikemukakan di hadapan panel RCI, tetapi tidak dipaparkan pada skrin televisyen di galeri awam.

Misi pada bulan Ogos 2015 itu merupakan operasi susulan yang dibuat pada awal Januari tahun itu, yang mana satu pasukan polis yang berasingan telah menjumpai kem-kem pemerdagangan manusia dan kubur di bahagian lain di Bukit Wang Burma.

Menurut Jamaluddin, kem kedua itu terletak di puncak Gunung Perlis dan hanya 30 ke 50 meter jaraknya dari batu yang berfungsi sebagai penanda sempadan antara Malaysia dan Thailand. 

Ia memakan masa sejam dengan berjalan kaki bukit dari tapak pertama yang ditemukan.

Sehari selepas operasi pada 16 Ogos, Jamaluddin membuat laporan polis yang memperincikan penemuan pasukannya bagi membolehkan pihak atasannya mengambil tindakan selanjutnya.

[Baca berita penuh]