malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam bertegang leher, isu panggil semula saksi diputus esok
ADS

INKUES ADIB | Keputusan permohonan pegawai pengendali inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim untuk memanggil semula saksi pakar ke-24, pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi akan diputuskan esok.

Perkara itu dimaklumkan Koroner Rofiah Mohamad di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini dalam inkues yang diadakan bagi menyisat punca kematian anggota bomba berkenaan.

Dalam inkues berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin sebagai pegawai pengendali inkues membuat permohonan itu bagi membolehkan Dr Hafizam menjawab kritikan yang dikemukan oleh saksi ke-29, bekas pakar perunding kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (dahulunya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) Prof Dr Shahrom Abd Wahid Jumaat lalu.

Saksi ke-27, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Shah Mahmood turut mungkin dipanggil semula mengikut keperluan.

Kata Faten, saksi Dr Hafizam telah membuat eksperimen atau ujian terhadap beberapa dakwaan Dr Shahrom, dan ia menurutnya, merupakan fakta relevan yang perlu diketahui oleh mahkamah dalam mencapai satu keputusan yang adil.

Pada 17 dan 19 April, Dr Shahrom mengkritik laporan bedah siasat yang dilakukan oleh Dr Hafizam, antaranya tentang skala warna lebam dan hipotesis Adib dilanggar pintu depan EMRS tidak diuji.

Tiada keperluan panggil semula saksi pakar

Bagaimanapun, permohonan pegawai pengendali itu ditentang Syazlin Mansor yang merupakan peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) secara bersama dengan peguam keluarga Adib, Yahaya Othman.

Katanya, tiada keperluan bagi mahkamah untuk memanggil semula saksi pakar kerana semua telah diberikan peluang untuk mengemukakan hujah masing-masing.

“Kami (peguam keluarga, JBPM dan KPKT) telah diberikan peluang untuk bertanya soalan yang kami rasa mencurigakan. Semua teori, kecederaan yang kami ragui, telah kami tanya dan mendapat penjelasan panjang lebar oleh saksi ke-24 dan ke-27.

“Memang tak disangkal, saksi ke-24 dan ke-27 mempunyai akses kepada Adib dalam pemeriksaan bedah siasat. Itu tak menjadi isu kepada kami.

“Tapi kami percaya tindakan pegawai pengendali memanggil semula saksi 24 untuk membidas teori saksi ke-29, jelas menunjukkan mereka telah berpihak , tidak lagi neutral,” kata Syazlin.

Tambahnya lagi, dia percaya semua saksi pakar telah menjelaskan kepada mahkamah pemeriksaan dan pertimbangan sebelum membuat keputusan dan teori mereka.

Justeru, katanya, pihak mahakmah tidak perlu memanjangkan isu perbezaan pendapat antara pakar-pakar yang terlibat dalam inkues.

“Kami percaya mahkamah sudah mempunyai keterangan mencukupi untuk memilih mana lebih (paling) mungkin berlaku kepada si mati.

“Saksi ke-24 sendiri kata, dia diberi peluang untuk meneliti EMRS, baju dipakai Adib dan meneliti mayat. Jadi sepatutnya (eksperimen) dijalankan sebelum (keterangan), bukan selepas.

“Kenyataan bahawa (eksperimen) dibuat selepas, menunjukkan ia dijalankan untuk menyangkal teori saksi ke-29. Ini penyalahgunaan terhadap proses mahkamah,” katanya lagi.

Bangun menjawab Syazlin, Faten mempertahankan permohonan dengan menyatakan pemeriksaan ke atas pintu van EMRS hanya dijalankan semasa prosiding berlangsung kerana sepanjang siasatan, tidak ada mana-mana saksi atau maklumat mencadangkan mangsa tesepit antara pintu van.

Sebaliknya, katanya, penekanan oleh peguam hanyalah terhadap persoalan sekiranya arwah Adib dipukul beramai-ramai.

“Ini (permohonan) bukan untuk mereka (saksi), ini untuk kepentingan mahkamah.

“Saksi ke-29 telah mengkritik, malah telah merendah-rendahkan (laporan saksi ke-24), mengatakan ia bukan teori, tapi andaian, kerana ujian tidak dibuat.

“Persoalannya sekarang ini, ahli patologi yang (terlibat) membuat bedah siasat telah melakukan ujian (baru), tidakkah ia wajar dibawa ke mahkamah?” tegas Faten.

Tambah Faten, sekiranya mahkamah mendapati Dr Hafizam mengulang-ulang teori yang telah dikemukakan sebelum ini, mahkamah berhak untuk menghentikan saksi daripada terus memberikan keterangan.

Mungkin terhimpit

Sekali lagi bangun menjawab Fatin, Syazlin mengingatkan isu yang dibangkitkan Fatin tidak sepatutnya timbul.

Katanya, Dr Hafizam sendiri dalam laporan bedah siasatnya awal-awal lagi tidak mengetepikan kebarangkalian kecederaan Adib mungkin disebabkan terhimpit antara dua permukaan keras.

Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya permohonan itu diluluskan, episod bidas-membidas akan berlanjutan dan melambatkan proses inkues.

“Jika ada bukti baru, ya, kami tak bantah (permohonan). Tapi kalau untuk mempertahankan teori, saya rasa tak perlu Puan Koroner.

“Satu saja soalan saya kepada pegawai pengendali, bilakah bidas-membidas ini akan habis? Saksi ke-24 beri keterangan, dan saksi ke-29 akan dipanggil semula atau bagaimana? Saya serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan,” kata Syazlin.

Fatin ketika menjawab Syazlin menyatakan pegawai pengendali tiada jawapan bilakah adegan bidas-membidas itu akan berkahir.

Katanya lagi, permohonan itu bukanlah disengajakan, sebaliknya dibuat semata-mata bagi membantu mahkmah.

“Terpulang pada mahkamah. Jika perlu panggil saksi ke-29,(peguam) boleh buat permohonan kepada mahkamah. (Semuanya dilakukan) untuk membantu mahkamah,” katanya lagi.

Keputusan sama ada permohonan tersebut diluluskan atau pun tidak akan diumumkan esok, jam 10.30 pagi di mahkamah sama.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember, 9.41 malam di Institut Jantung Negara setelah kecederaan yang dialaminya pada malam rusuhan.

Inkues diadakan berikutan terdapat dua versi yang timbul berhubung punca kematian Adib.

Lihat Komen