Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah belum memberi sebarang jawapan berhubung calon ketua hakim negara baru yang dipersembahkan kepada baginda, dedah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
"Saya selalu bayangkan bahawa Agong adalah orang yang mesti meluluskan semua pelantikan kanan tetapi entah bagaimana, sekarang perlu merujuk kepada Majlis Raja-Raja. Sekarang, bukan hanya Agong tetapi juga harus melalui Raja-Raja.
“Saya tidak tahu apa maksudnya. Keputusan (Putrajaya) tidak boleh diubah kecuali terdapat alasan yang sah.
"Kita telah membuat keputusan (berhubung calon ketua hakim negara) dan menghantarnya kepada Agong. Buat masa ini, saya masih belum mendapat pengesahan mengenai calon berkenaan," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan The Star.
Jawatan ketua hakim negara kosong sejak 12 April susulan persaraan wajib Richard Malanjum.
Minggu lalu, Straits Times Singapura melaporkan terdapat kebuntuan antara kerajaan pimpinan Mahathir dan Raja-Raja Melayu mengenai calon ketua hakim negara.
Akhbar itu memetik sumber yang "rapat dengan istana" sebagai berkata: "Mereka (Raja-Raja Melayu) berdiam diri, menyampaikan mesej bahawa mereka bukan cop getah."
Mengenai keperluan sesetengah negeri supaya rancangan ekonomi untuk melalui istana sebelum dibawa ke dewan undangan negeri, Mahathir berkata Raja-Raja Melayu hanya boleh melihat rancangan tetapi tidak boleh meluluskan atau menolaknya.
"Hak untuk melaksanakan apa-apa bergantung kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya.