malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS gesa PH jelaskan 'pemutihan perkhidmatan awam'
Diterbitkan:  Apr 22, 2019 11:21 AM
Dikemaskini: 3:21 AM
ADS

PAS menuntut kerajaan PH menjelaskan berhubung  “proses pemutihan dalam perkhidmatan awam” yang dimaklumkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Ong Kian Ming baru-baru ini.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, penjelasan kerajaan penting kerana ia dapat menentukan sama ada perkara itu diputuskan kabinet atau sebaliknya.

"Penjelasan juga perlu diberikan sama ada perkara ini telah diputuskan oleh kabinet dan apakah kapasiti serta motif timbalan menteri MITI mengeluarkan kenyataan tersebut yang boleh memberikan persepsi pelbagai negatif terhadap perkhidmatan awam dan pegawai serta kakitangannya.

"PAS turut menuntut penjelasan adakah frasa “proses pemutihan dalam perkhidmatan awam” yang digunakan itu merupakan satu tindak balas sewenang-wenang kerajaan PH berhubung kedudukannya yang tidak mendapat dukungan dan sokongan daripada pegawai kerajaan tanpa terlebih dahulu memeriksa sebab dan puncanya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ong dalam wawancara Astro Awani pada 17 April lalu berkata, kerajaan masih perlu meneruskan proses pemutihan ke atas penjawat awam di beberapa kementerian.

Tindakan itu, kata Ong, adalah kerana terdapat ramai penjawat awam pada masa ini masih berpihak kepada kerajaan lalu.

Kenyataan Ong itu mendapat kecaman Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memberi jaminan kakitangan awam di negara ini setia bersama kerajaan hari ini.

Dalam masa sama, kata Takiyuddin, PAS mahukan penjelasan kerajaan dalam beberapa isu yang melibatkan tindakan pimpinan kerajaan PH dan juga badan-badan di bawahnya yang jelas menampakkan pelanggaran undang-undang dan prosedur yang diamalkan.

Ia merujuk kepada kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung isu pembinaan terowong dasar laut.

"Atas kapasiti apakah Ketua Menteri Pulau Pinang membuat kenyataan bahawa Suruhanjaya Pencegaham Rasuah Malaysia (SPRM) telah 'membersihkan' pihak-pihak yang terlibat dalam Isu projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan tiga jalan yang bernilai RM6.3 bilion?

"Bukankah iniperanan dan fungsi SPRM? Lagipun kini terdapat kes mahkamah yang melibatkan tuduhan di bawah Seksyen 420, Kanun Kesiksaan, iaitu menipu ke atas individu yang dikatakan ada kaitan dengan isu ini," tambahnya lagi.

PAS juga turut mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara memfailkan Afidavit melalui Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi mengesahkan anggota Bomba Allahyarham Mohd Adib Mohd Kassim tidak dipukul sedangkan prosiding inkues masih lagi berjalan.

Selain itu PAS menuntut jaminan agar kerajaan tidak melindungi pihak tertentu yang terlibat dalam tuduhan dan dakwaan rasuah di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga sebahagian besar pegawai dan kakitangan JPJ Pulau Pinang ditangkap.

Dalam kenyataan sama, PAS mendakwa kes-kes rasuah dan jenayah melibatkan pemimpin dan ahli keluarga kerajaan PH kelihatan tidak dikendalikan secara telus dan dilengah-lengahkan proses pendakwaan.

Lihat Komen