malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Esok pun masih MB, kecuali saya jatuh tangga dan mati'
Diterbitkan:  Apr 19, 2019 2:15 PM
Dikemaskini: 6:42 AM
ADS

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dilihat tidak menolak sebarang kemungkinan berhubung kesahihan rakaman audio tular yang dikatakan mengandungi perbualan mengkritik kepimpinannya sebagai menteri besar.

"Dalam dunia sekarang ini macam-macam boleh berlaku. Mungkin ia benar, mungkin ia palsu," katanya dalam sidang media selepas melawat pusat media di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Tambah Ahmad Faizal, usaha untuk menjatuhkannya sebagai menteri besar wujud sejak dia menjawat jawatan itu.

"Tapi seperti yang anda tahu, saya masih menteri besar, dan saya rasa esok pun saya masih menteri besar. Kecuali saya jatuh tangga dan mati," katanya.

Ahmad Faizal berkata dia belum mendengar rakaman audio yang dimaksudkan namun percaya ada pihak yang sudah membuat laporan berhubung perkara itu.

"Setakat ini, saya pertahan pendirian saya sebelum ini, kerana dalam mesyuarat exco kita tidak ada apa-apa masalah.

"Tetapi jika ada apa-apa yang berlaku di belakang saya, saya tak pasti. Berdasarkan pandangan mata kasar saya, semuanya berjalan lancar," katanya.

 Rakaman audio berdurasi 4 minit 22 saat yang tular sejak 17 April lalu itu mengandungi perbualan yang menzahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap cara Ahmad Faizal mentadbir kerajaan negeri Perak selepas PH menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14.

Salah seorang individu dalam rakaman audio itu yang mengaku mempunyai hubungan baik dengan pihak istana negeri juga berkata usaha untuk menukar penyandang jawatan menteri besar hanya menunggu "lampu hijau dari Tun" yang dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Lewat hadir mesyuarat

Selain itu, rakaman audio tular berkenaan turut mengandungi kritikan yang mengatakan Ahmad Faizal sering lewat menghadiri mesyuarat.

Diminta mengulas dakwaan itu, Ahmad Faizal mengaku pernah terlewat hampir setengah jam menghadiri mesyuarat exco kerana masih cuba membiasakan diri.

"Sebab waktu tu saya tak biasa lagi, dengan mesyuarat pre-council, taklimat dan sebagainya jadi menyebabkan mesyuarat exco lambat.

"Kita semua tidak sempurna tapi saya sentiasa cuba membaiki keadaan," katanya.

Meskipun spekulasi berhubung usaha menjatuhkan Ahmad Faizal sebagai menteri besar sudah berlangsung untuk beberapa ketika, masing-masing pihak yang dikaitkan menafikannya.

Semalam, Exco Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Abdul Aziz Bari, menafikan rakaman audio itu miliknya.

Abdul Aziz sebelum ini pernah dikaitkan sebagai dalang yang menggerakkan usaha untuk menggulingkan menteri besar, namun beliau menafikannya.

Penafian sama turut dikeluarkan Ahmad Faizal yang menegaskan bahawa hubungannya dengan 10 lagi exco sangat baik umpama 'satu keluarga besar yang gembira'.

Sementara Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin pada 7 Mac lalu menafikan dakwaan yang mengatakan diadipanggil menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menggantikan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata dakwaan itu berniat jahat dan pada masa yang sama mahu merenggangkan hubungannya dengan Ahmad Faizal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen