malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Suri rumah dituduh perdagang bayi 15 dan 3 hari
Diterbitkan:  Apr 19, 2019 1:47 PM
Dikemaskini: 5:47 AM
ADS

Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Klang hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan dua bayi warga tempatan pada Februari lepas.

Tertuduh, Nik Rahimah Nik Mohd Nawi, 58, mengangguk faham namun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Nik Rahimah didakwa memperdagangkan seorang bayi perempuan berumur 15 hari berhampiran Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Selayang di Bandar Baru Selayang, dekat Klang, kira-kira pukul 10 pagi, 8 Feb lepas.

Ibu kepada empat orang anak itu juga didakwa memperdagangkan seorang bayi lelaki berumur tiga hari di tempat letak kereta Balai Polis Batu Arang, dekat sini, kira-kira pukul 8.40 malam pada 23 Feb lepas.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun atau sehingga 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Safarizal Zakaria yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya kedua-dua pertuduhan ke atas wanita itu dibicarakan bersama kerana modus operandi dan saksi adalah lebih kurang sama walaupun mangsa berbeza.

Mohammad Safarizal juga tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh atas alasan kesalahan wanita itu serius dan kesnya berkepentingan awam.

"Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan diberikan kepada tertuduh, saya memohon suatu jumlah yang tinggi selain syarat yang ketat iaitu dia perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan dan tidak mengganggu saksi-saksi,” katanya.

Peguam bela tertuduh, Razi Abdul Razak memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM2,000 kerana penjamin wanita berkenaan iaitu suaminya, hanya bekerja sebagai seorang peniaga yang berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan dan perlu menyara dua daripada empat anak mereka.

Roszianayati kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM12,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin selain memerintahkan wanita itu melapor diri di balai polis berhampiran setiap sebulan sekali dan melarang tertuduh menghubungi atau menganggu saksi-saksi.

Mahkamah menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan penetapan tarikh perbicaraan.

Pada 28 Mac lepas, media melaporkan seorang wanita tempatan dipercayai pengendali pusat jagaan gadis terlanjur di Rawang, dekat sini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan terlibat dengan sindiket penjualan bayi.

- Bernama

Lihat Komen