Pengiklanan

    'Saya diminta buat bilik stor ada almari pakaian di rumah orang nombor 1'

    (Dikemaskini )

    Pemilik syarikat pereka hiasan dalaman memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau membuat kerja-kerja pembinaan bilik stor yang mempunyai almari pakaian dan dapur kering (pantri) di rumah “orang nombor 1” iaitu Najib Razak pada 2014 berjumlah lebih RM200,000.

    Zulkarnain Mohamad, pemilik ABS Trend Master Sdn Bhd berkata beliau mendapat bayaran pendahuluan sebanyak RM50,000 sebelum kerja-kerja dimulakan melalui cek manakala RM100,000 melalui cek bertarikh 12 Feb 2015 atas nama syarikat itu selepas sebahagian kerja-kerja disiapkan.

    “Kerja-kerja pembinaan bermula pada bulan lapan atau sembilan 2014. Kerja-kerja disiapkan dalam masa tiga hingga empat bulan,” kata saksi pendakwaan keenam semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan kes Najib yang masuk hari kelima hari ini.

    Muhammad Saifuddin: Pada tahun 2014, ada tidak syarikat diminta untuk membuat kerja-kerja di rumah Datuk Seri Najib?

    Zulkarnain: Ada.

    Muhammad Saifuddin: Boleh ceritakan bagaimana syarikat boleh mula terlibat dengan kerja-kerja di rumah Datuk Seri Najib?

    Zulkarnain: Pada 2014, dalam bulan 8 atau 9, saya dapat panggilan daripada pengurus rumah kediaman Perdana Menteri, waktu itu dirujuk orang no 1, saya tidak pasti siapa orang no 1 tapi saya pergi sahaja. Kita nak buat kabinet baju dan stor.

    Muhammad Saifuddin: Siapa yang telefon?

    Zulkarnain: Encik Amirul Hadi. Masa tu saya belum kenal Amirul Hadi. Saya jumpa dia lepas Tol Jalan Duta, di Shell, saya kemudiannya dibawa ke kediaman itu.

    Katanya beliau berjumpa Amirul Hadi pada siang hari dan dibawa ke kediaman Najb di Jalan Langgak Duta dengan menaiki kenderaan masing-masing.

    “Amirul Hadi minta saya buat stor, kabinet baju. Saya tanya ini rumah siapa, dia kata ini rumah orang nombor 1, saya cakap saya tidak mampu, saya tidak layak, tapi dia kata awak boleh buat.

    “Selepas itu saya cakap saya tengok dulu, saya ukur mana-mana yang dia nak, di rumah itu untuk buat setor, pantri dan kabinet baju. Saya ukur, saya buat draf, saya balik dan minta tempoh seminggu, dan bagitahu designer (Mohd Ikram),” katanya.

    Saksi itu menjelaskan kerja-kerja pembinaan itu dilakukan di belakang rumah di kawasan kediaman dengan sebut harga RM243,000 atau RM234,000.

    Ditanya sebesar mana bilik stor itu mengambil kira anggaran bilik bicara mahkamah, beliau menjawab “anggaran 1/3 daripada mahkamah”.

    Ditanya siapa memberikan cek bayaran kerja-kerjanya, saksi itu berkata beliau menerimanya daripada Amirul Hadi.

    Muhammad Saifuddin: Di mana tempat terima cek?

    Zulkarnain: Di rumah di Jalan Duta.

    Muhammad Saifuddin: Masa buat kerja di rumah Jalan Duta dan kamu kata rumah itu orang nombor 1, sepanjang masa ada di situ, Ada nampak Datuk Seri Najib?

    Zulkarnain: Saya buat kerja di belakang rumah, tapi kalau beliau nak keluar, saya nampak.

    Muhammad Saifuddin: Pernah cakap?

    Zulkarnain: Tidak pernah.

    Disoal balas peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib saksi itu berkata beliau tidak pernah melihat keseluruhan kediaman bekas perdana menteri itu kerana beliau melakukan kerja-kerja di belakang rumah dan beliau juga tidak tahu almari pakaian itu dibuat untuk menyimpan pakaian Najib atau pekerjanya.

    Kepada soalan peguam itu sama ada beliau ada melihat keramaian atau sebarang majlis diadakan di rumah Najib, Zulkarnain, 46, berkata beberapa kali seminggu beliau melihat ada anak yatim dan pelajar tahfiz membaca Surah Yasin di rumah Najib.

    Zulkarnain: Kalau hari Khamis malam Jumaat ada anak yatim baca Surah Yasin, seminggu dua kali.

    Muhammad Shafee: Mana tahu mereka anak yatim?

    Zulkarnain: Sebab mereka pakai baju putih.

    Jawapan saksi itu membuatkan suasana mahkamah dipenuhi dengan gelak ketawa termasuk Najib yang duduk dalam kandang tertuduh.

    Ditanya peguam itu sama ada beliau ada melihat Najib semasa membuat kerja-kerja pembinaan itu, saksi itu berkata sekiranya Najib berada di rumah, beliau akan menghentikan kerja-kerja pembinaan kerana takut akan menganggunya kerana bunyi yang bising.

    “Kalau beliau ada di rumah, saya tidak buat kerja. Kalau beliau keluar saya sambung kerja,” katanya.

    Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih