malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Nama dalang diserah kepada pihak berkuasa
Diterbitkan:  Apr 18, 2019 6:26 PM
Dikemaskini: 10:26 AM
ADS

RCI WANG KELIAN l Senarai individu yang disyaki sebagai dalang membawa masuk pendatang tanpa izin ke Wang Kelian, Perlis, telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan, kata saksi keenam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.

Bekas Penolong Pegawai Pemerintah Medan Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) S Sivanganam berkata maklumat tersebut diserahkan kepada Ketua Polis Perlis, Ketua Polis Kedah, Unit Risikan Sempadan Kedah Perlis serta Unit Risikan Batalion 3 PGA selepas menerimanya daripada satu sumber menerusi panggilan telefon.

Menurutnya, sumber yang tidak mahu dikenali itu tetapi hanya memperkenalkan diri sebagai penduduk Wang Kelian, telah memberikan maklumat berkenaan wujudnya kerjasama antara penduduk di situ dengan satu sindiket dan bagaimana menghantar pendatang tanpa izin dari Bukit Wang Burma ke tempat lain di seluruh negara.

“Sehari selepas penemuan kem penempatan itu pada 19 Januari (2015), saya dihubungi oleh seseorang daripada Wang Kelian yang memberikan banyak informasi berkenaan sindiket tersebut.

“Kemudian saya turun ke Wang Kelian bagi membuat pengesahan satu nama yang diberi iaitu Aziz atau Azim yang dikatakan menjadi orang tengah sindiket membabitkan Malaysia-Thailand dan mendapati individu berpenyakit kulit dan menjalankan perniagaan di Arked Wang Kelian yang berhampiran bangunan CIQ itu wujud dan sama seperti yang digambarkan oleh pemberi maklumat,” katanya.

Sivanganam bagaimanapun berkata beliau tidak pasti sama ada maklumat yang mengandungi senarai nama mereka yang terlibat dalam sindiket itu yang diserahkan kepada pihak berkenaan pada 22 Januari diambil tindakan lanjut atau sebaliknya.

Ini disebabkan beliau tidak lagi dibenarkan kembali ke kawasan penemuan kem sementara dan kubur tersebut selepas tempoh kawalan atau tugasan selama sebulan di situ berakhir, katanya.

Arahan itu dikeluarkan selepas tempoh sebulan bertugas di kawasan tersebut selesai, katanya menjawab pertanyaan Timbalan Pengerusi RCI Tan Sri Norian Mai.

“Oleh kerana Tan Sri tanya, saya jawab. Saya dilarang untuk kembali ke kawasan operasi oleh Komander Nasir,” katanya tanpa memperincikan mengenai komander terbabit.

Ditanya kenapa beliau tidak dibenarkan kembali bertugas di kawasan itu, Sivanganam berkata: “Saya tidak mempersoalkan. Arahan komander adalah untuk tidak pergi ke kawasan itu dalam operasi akan datang”.

Beliau yang bersara pada Julai 2016 turut memaklumkan sebanyak lapan nama disebut oleh pemberi maklumat yang dimasukkan di dalam laporan tersebut.

Prosiding disambung semula 22 April.

- Bernama

Lihat Komen