Pengiklanan

    Exco nafi audio tular kritik MB Perak miliknya

    (Dikemaskini )

    Exco Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Abdul Aziz Bari menafikan rakaman tular terbaru yang mengkritik kepimpinan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu adalah miliknya.

    "Saya tidak tahu, ia (rakaman audio) tidak authentic (sahih)," katanya yang dipetik oleh Bernama.

    Abdul Aziz ketika ditemui media menegaskan dalam era kecanggihan teknologi ketika ini, pelbagai perkara boleh dibuat.

    "Saya tidak tahu. Saya tidak dengar (rakaman audio), rakaman seperti ini datang daripada sumber tidak rasmi dan boleh dibuat," katanya ketika ditemui pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

    Ketika ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan rakaman audio itu milik beliau, Abdul Aziz (DAP-Tebing Tinggi) menafikannya dan menyifatkan ia sebagai sembang kedai kopi.

    "Semua kata macam itu, tapi sekarang ini macam-macam orang dituduh macam itu.

    “Kecuali kalau saya buat sidang media, semua orang nampakkan (wajah saya)...asli dan 'authentic' kan," katanya.

    Selain itu, Abdul Aziz turut mempertikaikan mengapa beliau dikaitkan dengan rakaman audio tular tersebut.

    "Kenapa diarah kepada saya sahaja, saya seorang sahajakah ada potensi untuk jadi menteri besar? Orang lain tiada? Banyak kali dah," katanya.

    Abdul Aziz sebelum ini juga pernah dikaitkan sebagai dalang yang menggerakkan usaha untuk menggulingkan menteri besar, namun beliau menafikannya.

    Ahmad Faizal juga menafikan ada usaha menggulingkannya, sebaliknya menegaskan hubungan beliau dengan 10 lagi exco sangat baik umpama 'satu keluarga besar yang gembira'.

    Rakaman audio berdurasi 4 minit 22 saat yang tular sejak semalam itu menzahirkan rasa kurang berpuas hati seorang individu dengan cara Ahmad Faizal mentadbir kerajaan negeri Perak selepas Pakatan Harapan menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14.

    Utusan Malaysia pagi tadi melaporkan berdasarkan rakaman tersebut, individu itu juga mendedahkan beberapa perangai Ahmad Faizal yang tidak disenanginya.

    “Mesyuarat pukul 10, 10.30 baru datang, mesyuarat pukul 11. Itu SOP (prosedur operasi standard) dia. Dia pun datang, Assalamualaikum, kita mulakan dengan al-Fatihah, kemudian semak satu persatu.

    “Tetapi keputusan tiada. Kemudian hujungnya lain-lain hal, orang kata cepatlah, tidak perasan dah pukul 1. Ini helah dia dan setengah (kertas kerja) langsung tidak bawa ke situ (mesyuarat exco),” kata suara itu.

    Akhbar itu juga melaporkan individu tersebut juga mendakwa ada masanya taklimat yang diadakan dianggap sebagai keputusan mesyuarat exco.

    “Saya mengakulah, benda ini masalahnya bukan di exco (Perak) sahaja, even kabinet (Persekutuan) pun bermasalah. Dua, tiga isu yang saya tengok, Mahathir (Dr Mahathir Mohamad) pun tidak reti nak buat, dia nak ‘blame’ sini pula.

    “Jadi selama 10 bulan deme orang ini, inilah yang berlaku. Tanya dia (Ahmad Faizal). Program tuanku (Sultan Perak) dilangkaunya (skip).”

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih