Pengiklanan

    Sushi King, Family Mart antara jenama baru di R&R Plus

    (Dikemaskini )

    Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan kendalian Plus Malaysia Berhad (Plus) berpeluang menikmati lebih banyak pilihan makanan dan minuman melibatkan lima jenama baharu terkenal di kawasan rehat dan rawat (R&R) lebuhraya itu.

    Jenama itu ialah Sushi King, MyLaksa, Daily Fresh, Bon 900 Cafe dan Family Mart, sekali gus menjadikan 25 jenama produk beroperasi di R&R dan hentian sebelah Plus.

    Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail berkata syarikat konsesi itu memeterai perjanjian penerimaan lima jenama berkenaan sebagai rakan niaga baharu Plus bagi memantapkan lagi operasi di kawasan R&R selain memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya.

    "Pengenalan jenama baharu ini merupakan salah satu inisiatif Plus untuk menawarkan lebih banyak variasi pilihan makanan dan minuman kepada pelanggan lebuh raya ini sesuai dengan kehendak pelanggan lebuhraya masa kini," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian itu di Shah Alam hari ini.

    Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Plus, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah.

    Pada masa ini, lebih daripada 700 gerai makanan dan minuman di R&R Plus menawarkan pelbagai makanan di 24 buah R&R, 46 hentian dan empat restoran jejantas.

    Pada majlis itu, Plus buat julung kalinya menganjurkan Persidangan Rakan Niaga Plus yang mengumpulkan lebih 450 rakan niaganya dari seluruh negara di bawah satu bumbung bagi tujuan berkongsi pengalaman dan meningkat mutu perkhidmatan masing-masing.

    Pada persidangan sama Plus turut memperkenalkan Program Insentif Rakan Niaga (BPIP) bagi mengiktiraf dan menghargai rakan niaganya.

    Pada program BPIP sulung itu, R&R Seremban (Arah Utara) dinobatkan sebagai R&R Plus terbaik, manakala lebih 100 dipilih sebagai rakan niaga terbaik.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih