malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Prabowo, Sandi berselisih faham? Tidak, kata jurucakap
Diterbitkan:  Apr 18, 2019 4:44 PM
Dikemaskini: 11:56 AM
ADS

GLOBAL | Dilihat tidak muncul bersama regunya, keberadaan Sandiaga Uno menjadi perhatian sejak berakhirnya pemilihan presiden Indonesia semalam.

Ketika Joko Widodo muncul bersama pasangannya Ma'ruf Amin, di sisi lain pencabar mereka - Prabowo Subianto - pula menaiki pentas bersendirian.

Justeru beredar khabar kononnya Sandiaga dihalau Prabowo gara-gara kedua-dua mereka berselisih faham mengenai pendirian bekas panglima tentera itu yang mengumumkan kemenangan ketika firma kaji selidik berpendapat sebaliknya.

Berdasarkan khabar angin, Sandiaga, 49, didakwa tidak menyetujui tindakan Probowo mengisytiharkan mereka menang dengan memperoleh 62 peratus undi.

Hari ini penyelaras Kem Pemenangan Prabowo, Dahnil Anzar Simanjuntak, menyangkal dakwaan tersebut.

“Enggak (diusir) itu, Bang Sandi cegukan (mengalami masalah suara) tak henti-henti sejak siang kerana kelelahan.

“Sandi hanya tidur satu jam sebelum pengundian. Kerana itu dia tidak dapat menyertai deklarasi kemenangan bersama Prabowo,” katanya seperti laporan dipetik CNN Indonesia.

Dalam pilihan raya presiden semalam - yang diadakan serentak dengan pilihan raya umum seluruh Indonesia - Prabowo sekali lagi mencuba nasib untuk mencabar Joko Widodo - atau lebih dikenali sebagai Jokowi.


Baca Pemuda PAS isytihar sokong Probowo


Prabowo yang dikaitkan dengan keganasan tentera sewaktu zaman akhir 1990-an mendapat sokongan banyak parti beraliran Islam.

Beberapa pemimpin PAS juga menyatakan harapan untuk melihat Prabowo dan Sandiaga menang.

Jokowi pula dikaitkan dengan fahaman liberal dan kuda tunggangan kumpulan bukan Islam walaupun Ma'ruf itu ialah pengerusi Majlis Ulama Indonesia.

Sementara itu berdasarkan hantaran di akaun Instagram Sandiaga, tiada dilihat unsur yang mengaitkan dia dan Prabowo sedang berselisih faham.

“Terima kasih Pak Probowo yang sudah menjenguk saya tadi malam ditemani kucing kesayangannya.

“Mohon maaf belum bisa mendampingi bapak,” katanya menerusi akaun rasminya dua jam yang lalu.

Lihat Komen