malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pembelaan minta saksi kemuka laporan pengesahan cek
Diterbitkan:  Apr 18, 2019 4:22 PM
Dikemaskini: 8:22 AM
ADS

Pasukan pembelaan bekas perdana menteri Najib Razak, yang dibicarakan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, meminta saksi kelima pendakwaan mengemukakan laporan pengesahan berkaitan transaksi cek yang terdapat dalam sistem perbankan Ambank cawangan Jalan Raja Chulan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Harvinderjit Singh yang mewakili Najib selepas pendakwaan tidak membantah.

Terdahulu, Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek Ambank cawangan Jalan Raja Chulan Badrul Hisam Mohamad berkata beliau boleh mengemukakan laporan itu ketika diminta berbuat demikian oleh Harvinderjit.

Harvinderjit: Bolehkah anda memeriksa data anda untuk mengesahkan sama ada maklumat dalam akaun ini betul atau tidak?

Badrul Hisam: Boleh.

Hakim: Jadi, anda mahu beliau datang dan mengemukakan laporan itu kepada mahkamah?

Harvinderjit: Ya.

Sebelum itu, Harvinderjit merujuk beberapa cek kepada saksi bagi mendapatkan pengesahan berkaitan kesahihan butirannya, termasuk nama penerima, tarikh dan nombor akaun.

Terdahulu, Badrul Hisam bersetuju dengan Havinderjit bahawa setiap cek perlu diperiksa terlebih dahulu untuk menentukan sama ada ia sudah ditunaikan atau sebaliknya.

Beliau berkata jika terdapat cek yang ditolak, pihak bank akan mengeluarkan notis kepada pengeluar cek (bank).

"Urusan itu akan dibuat oleh pengurus bank dengan bahagian pemprosesan cek untuk menyelesaikan perkara itu. Kemudian pengurus bank akan memberitahu pemegang akaun berhubung penolakan cek," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung petang ini.

- Bernama

Lihat Komen