Pengiklanan

    Khalid Samad pertahan penjenamaan semula program BN


    (Dikemaskini )

    Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad hari ini mempertahankan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjenamakan semula program dan inisiatif pentadbiran BN, sebelum ini.

    “(Penjenamaan semula) itu (langkah) kementerian masing-masinglah, kerana kita nak bezakan yang mana dasar kerajaan sekarang dan yang mana dasar kerajaan dulu.

    “Bukan sekadar tukar nama sahaja tetapi insya-Allah ada perbezaan dari segi cara ia dilakukan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan seunit Residensi Jalilmas untuk atlet di Bukit Jalil, hari ini.

    Permata kini dikenali sebagai Genius.

    Mengambil contoh Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip), anggota Parlimen Shah Alam itu berkata ia bukan sekadar penjenamaan.

    “Sekarang ia diberi nama Residensi Wilayah dan ia (penjenamaan terbabit) bukan sekadar penjenamaan baru tetapi juga asas-asas dia pun berbeza dari segi luas lantai, iaitu dari 800 kaki persegi jadi 900 kaki persegi.

    “Manakala dari segi keperluan pula mengikut kawalan kualiti pembinaan,” katanya.

    Beberapa program era BN yang dijenamakan semula antaranya termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menjadi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) menjadi Pusat Komuniti Desa (PKD).

    Terbaru Program Permata Negara (Permata), yang lahir daripada ilham dan inisiatif isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor, dijenamakan semula dengan nama baru Genius.

    'Biar datuk bandar jalan tugas'

    Dalam perkembangan lain, Khalid berkata beliau tidak akan masuk campur dalam sebarang tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur termasuk berkenaan isu penjaja di Jalan Tunku Abdul Rahman.

    "Saya bukan orang yang ambil tugas orang lain terutama datuk bandar... Setiap PBT (pihak berkuasa tempatan) ada ketua mereka. Saya serahkan tugas untuk mereka jalankan dan tak buat keputusan bagi pihak mereka.

    "Bagaimanapun ada isu yang dibincangkan bersama saya selaku menteri... Tetapi akhirnya saya nak tengok datuk bandar, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Pengerusi Perbadanan Labuan (PL) melaksanakan tugas masing-masing," katanya.

    Beliau menjawab soalan pemberita mengenai dakwaan sejumlah persatuan penjaja di sana berkenaan pertindihan penama untuk Bazar Ramadan tahun ini.

    Khalid berkata, pihaknya boleh dirujuk jika masalah itu masih tidak dapat diselesaikan.

    "Namun setakat ini saya nampak apa yang dilaksanakan adalah baik, malah soal Jalan TAR yang ditutup (untuk kenderaan) pada Sabtu dan Ahad juga berjalan dengan baik.

    Beliau meminta pihak penjaja berhubung secara terus dengan DBKL.

    "Kalau penjaja buat permohonan secara atas talian, pertindihan tidak akan berlaku kerana ada perbandingan nombor kad pengenalan...Tetapi jika ia berlaku, pergilah kepada DBKL dan pasti pihak mereka akan betulkan," katanya lagi.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih