malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes tuntutan palsu: Pekerja hospital direman 5 hari - SPRM
Diterbitkan:  Apr 18, 2019 3:55 PM
Dikemaskini: 7:55 AM
ADS

Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor untuk menahan reman seorang penjawat awam wanita bagi membantu siasatan berhubung kes bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM15,000 kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Perintah reman lima hari bermula hari ini sehingga 22 April itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, Faridatul Farrah Mohd Shukri.

Semalam, wanita berumur 36 tahun itu, yang bertugas sebagai Pembantu Operasi di HSA, di Johor Bahru, ditahan pada 2.30 petang di Pejabat SPRM Johor, bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan, mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Mengikut seksyen berkenaan, seseorang boleh didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Siasatan awal yang dijalankan mendapati wanita tersebut bersubahat dengan pemilik-pemilik syarikat pembekal bagi mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM15,000 bagi perkhidmatan menyediakan makanan dan minuman untuk beberapa program kursus dijalankan sepanjang 2018 oleh HSA, sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan.

Lima suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berumur dalam lingkungan 30-an hingga 50-an, yang juga pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman sudah ditahan pada awal bulan ini.

- Bernama

Lihat Komen