malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Najib tengking, tepis polis di luar mahkamah
ADS

Kemaskini | Berlaku sedikit kekecohan di pekarangan bangunan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini apabila seorang pemuda mendakwa sebagai pelajar meluru kep arah bekas Perdana Menteri Najib Razak selepas prosiding hari keempat tamat.

Pemuda yang memakai kemeja bewarna merah itu bertanya kepada Najib mengapa dia dihalang daripada mendengar perbicaraan berhubung kes dana SRC International Sdn Bhd.

Namun situasi bertukar sedikit tegang apabila seorang anggota polis menghalang pemuda terbabit daripada mengajukan soalan kepada bekas perdana menteri itu.

Najib pada mulanya mengatakan 'tidak payah' kepada anggota polis terbabit dan menepis tangannya sebelum menjerkah kepadanya.

“Tak payahlah,” sergah Najib.

Pelajar terbabit meneruskan soalannya berkaitan larangan pihak mahkamah terhadapnya.

Anggota Parlimen Pekan itu bagaimanapun memalingkan wajahnya kepada anggota polis berkenaan sebelum meminta maaf.

“Dia nak tanya sikit,” katanya kepada pegawai terbabit sambil memegang tangan pemuda berkenaan.

Bagi menjawab soalan pemuda itu, Najib berkata perkara tersebut di luar bidang kuasanya.

“Saya tak tahulah, kena tanya mahkamah, bukan saya punya kuasa,” kata Najib kepada lelaki berkenaan.

Najib kemudiannya masuk ke kereta dan berlalu pergi.

Sejurus selepas itu, pemuda itu bertemu pemberita dan melahirkan rasa tidak puas hatinya berhubung penjelasan Najib.

“Kalau rakyat biasa tak dapat masuk, bagaimana nak tengok justice di Malaysia,” tegasnya yang enggan memberitahu namanya.

'Itulah sebab saya nak siaran langsung'

Najib dalam responsnya di laman Facebook berkata beliau sekali lagi memohon maaf kepada anggota polis terbabit dan mengatakan pemuda berkenaan hanya mahu bertanya mengenai kesnya.

"Saya tahu pihak polis sedang menjalankan tugas untuk memastikan keselamatan saya. Cuma saya berpendapat bahawa anak muda ini dibenarkan peluang untuk bertanya dan tidak ingin dia ditahan oleh pihak polis.

"Sekali lagi, saya berterima kasih dan memohon maaf kepada pihak polis," kata Najib.

Katanya lagi, ia juga antara sebab mengapa beliau sebelum ini mahukan perbicaraan itu disiarkan secara langsung.

"Itulah sebab saya pernah bersetuju bahawa prosiding ini dibenarkan untuk disiarkan secara langsung. Sekurang-kurangnya boleh ditonton melalui FB Live atau di YouTube," katanya.

Lihat Komen