malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Terangkan pada rakyat PH bela Melayu, Islam
ADS

ULASAN | Parti Amanah Negara (Amanah) yang berusia lebih kurang tiga tahun telah ditubuhkan pada 16 Spetember 2015 hasil daripada pergolakan yang berlaku dalam PAS.

Tanpa menyebut sebab dan musabab berlaku pergolakan itu, Amanah yang berusia begitu muda telah diuji dengan menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Sungai Besar, Kuala Kangsar dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak.

Apa pun Amanah sejak dilahirkan telah membuat gabungan dengan parti-parti seperti Keadilan (PKR) dan DAP. Menyedari bahawa Amanah di peringkat awal ini tidaklah sekuat mana melainkan pergantungan kerjasama dengan parti-parti rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

Munculnya Parti Bersatu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lain-lain rakan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dengan kerjasama yang erat menghadapi Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib Tun Abdul Razak, mengenengahkan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa 1MDB yang paling utama menyebabkan rakyat meyakini Pakatan Harapan dan menolak Barisan Nasional dalam pilihan raya Mei 2018 yang lalu.

Kita sedar bahawa sebahagian besar orang Melayu khasnya di semenanjung masih kuat berpegang kepada Umno dan juga PAS. 

Golongan yang tidak berparti sama ada Melayu atau bukan Melayu pula khasnya orang bukan Melayu telah memberi keyakinan kepada Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus memberi undi yang agak tinggi membolehkan Pakatan Harapan melebihi kerusi yang dipungut oleh Barisan Nasional. Maka mereka diiktiraf untuk memerintah Malaysia pada pilihan raya 9 Mei 2018.

Memang undi orang-orang Melayu secara umumnya tidak begitu melonjak kepada Pakatan Harapan terutama isu perkauman yang dimainkan iaitu menerajui, mempelopori dan menguasai Pakatan Harapan adalah DAP yang kebanyakannya pimpinannya adalah orang-orang Cina dan India.

Di Sabah dan Sarawak, sokongan daripada Warisan dan beberapa individu membolehkan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan Malaysia pada PRU ke-14 yang lalu.

Setelah Tun Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri diikuti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah, menteri kewangannya, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha DAP; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan iaitu Presiden AMANAH diikuti dengan Menteri Penerangan, Gobind Singh Deo dari DAP, maka dilihat kerajaan Pakatan Harapan dikuasai oleh bukan Melayu.

Ini terutamanya Menteri Kewangan berada di tangan Lim Guan Eng dan Menteri Penerangan dipegang Gobin dari DAP yang secara tradisinya dikuasai oleh Umno. Kali ini ia dikuasai oleh menteri dari DAP.

Dicanang DAP, bukan Melayu kuasai PH

Oleh itu, Umno dan PAS mencanangkan kerajaan Pakatan Harapan dikuasai oleh DAP dan bukan Melayu sehingga ia memerangkap fikiran rakyat Malaysia khasnya orang Melayu bahawa pimpinan Pakatan Harapan dikuasai oleh bukan Melayu khasnya DAP.

Persepsi ini menenggelamkan soal rasuah, soal penyelewengan dilakukan kerajaan terdahulu terutamanya oleh Najib Razak melalui 1MDB dan rakan-rakannya kerana propaganda Umno-PAS lebih menonjol iaitu Melayu, orang Islam yang rasuah dan menyeleweng lebih selamat UNTUK kita bernaung daripada orang bukan Melayu, orang bukan Islam khasnya DAP walaupun mereka tidak menyeleweng.

Tanggapan ini ditanam begitu lama (iaitu) "seburuk-buruk orang Islam yang zalim lebih baik daripada orang bukan Islam yang adil".

Soal betul atau tidak, tidak menjadi persoalan iaitu konsep ataupun pegangan yang mengatakan bahawa orang Islam yang zalim dan rasuah lebih baik daripada orang kafir yang adil dan baik.

Ini ditanamkan oleh pengkuliah-pengkuliah di seluruh Malaysia, mengambil hujah-hujah yang mereka pelajari daripada ajaran yang kononnya daripada ajaran agama Islam itu sendiri.

Mula jadi pegangan

Maka naratif ataupun persepsi yang mengatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan ditunggangi oleh bukan Melayu dan bukan Islam sudah diyakini ramai, sudah dipegang oleh sebahagian besar orang Melayu dan orang Islam di Malaysia khasnya di Semenanjung, tidak di Sabah dan Sarawak.

Oleh itu setiap berlaku pilihan raya kecil terutama selepas peristiwa anggota bomba Adib yang terkorban dalam rusuhan di kuil di Selangor itu menjadikan keyakinan orang-orang Melayu khasnya yang terperangkap dalam hujah-hujah Umno dan PAS semakin kuat dan semakin ketara.

Ia menjadi satu pegangan yang diterima pakai sekarang ini bahawa kedudukan orang Melayu, Islam, kedudukan raja-raja Melayu tergugat di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Kita hendaklah memulakan perjuangan kita daripada persimpangan yang dicipta ini. 

Memang setelah hampir satu tahun berlalu pemerintahan Pakatan Harapan, kita menghadapi masalah besar. Harta Tabung Haji yang hampir RM80 bilion, kalau tidak diselamatkan agansi ini akan runtuh.

Bila Tabung Haji runtuh hasil daripada salah urus di bawah pemerintahan BN dahulu akan menyebabkan Moody Rating terhadap Malaysia akan turun dan pelabur-pelabur asing akan menjauhi Malaysia.

Mahu tidak mahu, di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang Menteri Kewangannya Lim Guan Eng telah berusaha dan berikhtiar walaupun dalam keadaan kekangan kewangan iaitu mengeluarkan lebih RM17 bilion 'bailout' untuk menyelamatkan satu institusi tabung bumiputera yang begitu besar iaitu Tabung Haji.

PH selamatkan Tabung Haji

Seluruh ahli-ahli Amanah dan pejuang-pejuang rakyat hendaklah mengumandangkan isu ini iaitu kerajaan Pakatan Harapan menyelamatkan institusi perniagaan Bumiputera, tabung yang terbesar walaupun Menteri Kewangannya daripada DAP, Cina dan non Muslim.

Pakatan Harapan, Lim Guan Eng melihat dari sudut keharmonian, kekuatan politik untuk menolong, membantu Bumiputera, orang Melayu dan Islam. Ini yang diutamakan daripada soal perkauman yang diluaslebarkan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Penerangan ini mesti dilancarkan habis-habisan oleh Pakatan Harapan khasnya ahli-ahli Amanah bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak mengkhianati Melayu dan Bumiputera, Islam dan orang Islam seperti digambarkan oleh mereka.

Ya barangkali kita mengambil masa sedikit untuk memberi penerangan ini tetapi saya yakin menjelang pilihan raya tiga atau empat tahun akan datang orang Melayu, umat Islam akan pulih keyakinan kepada Pakatan Harapan khasnya agenda untuk menguatkan ekonomi dan menaik taraf kedudukan orang Melayu dan orang Islam di bawah Pakatan Harapan.

PH bela Melayu

Begitu juga satu lagi institusi yang dikuasai dan dimonopoli oleh orang Melayu berlaku juga penyelewengan sehingga berlaku keresahan peneroka Felda. 

Sekali lagi penyelewengan yang berlaku dahsyat, didedahkan melalui Kertas Putih oleh Datuk Seri Azmin Ali di dalam parlimen terhadap Felda menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan di bawah Menteri Kewangannya Lim Guan Eng mengeluarkan lebih kurang RM6.2 bilion untuk bailout dan menyelamatkan Felda, satu-satunya institusi yang dikuasai sepenuhnya oleh Melayu, Bumiputera, Islam

Inilah perlu kita gambarkan kepada rakyat khasnya orang Melayu dan orang Islam untuk mengatasi propaganda sementara yang diyakini dan dipercayai oleh orang Melayu sekarang hasil dominasi fikiran yang ditanam oleh Umno dan PAS.

Begitu juga yang juga satu tabung yang dipelopori Bumiputera dan penyimpan sahamnya juga Bumiputera, Melayu dan Islam iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). 

Walaupun kerajaan tidak bailout LTAT tetapi usaha penstrukturan semula untuk menguatkan institusi Bumiputera khasnya tabung ini akan berfungsi lebih hebat dan gigih untuk maju pada masa akan datang dan semua penyimpannya majoritinya adalah Bumiputera Melayu Islam.

Kita mesti terangkan kepada rakyat bahawa kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan yang membela Melayu, membela orang Islam pada masa yang sama berusaha menentang rasuah dan penyelewengan dilakukan sesiapa sekalipun sama ada orang Islam atau bukan Islam.

Patahkan serangan Umno dan PAS bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak membela Melayu dan tidak membela Islam yang diyakini oleh orang Melayu ketika ini.

Kuatkan serangan atau pandangan kita untuk kita tonjolkan Islam Rahmat Untuk Semua atau Islam Rahmatan Lil 'Alamin. 

Ketengahkan kepada masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia bahawa naratif serta persepsi yang ditanam bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak membela Melayu dan tidak membela Islam akan patah di tengah jalan.


MOHAMAD SABU ialah presiden Parti Amanah Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen