malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
LANGSUNG: Tiba-tiba ada pelajar meluru ke arah Najib
ADS

LANGSUNG | Perbicaraan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak masuk hari keempat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Seperti biasa Malaysiakini membawakan liputan secara langsung perbicaraan kes berprofil tinggi ini.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

 LANGSUNG

5.10pm: Sedikit ketegangan berlaku ketika Najib Razak keluar dari bangunan mahkamah melibatkan seorang lelaki mendakwa sebagai pelajar.

Dia kelihatan meluru ke arah bekas perdana menteri itu dan bertanya mengapa tidak dibenarkan masuk ke mendengar perbicaraan berkenaan.

Bagaimanapun seorang anggota polis menghalang pelajar terbabit daripada menghampiri Najib dan mengarahkannya supaya ke tepi.

Polis juga menarik lengan baju pemuda berkenaan. Bagaimanapun pelajar terbabit kelihatan memegang tangan Najib dan bertegas mahu bertanya.

Najib kemudian meminta maaf kepada polis dan meminta agar pemuda terbabit diberi peluang bertanya soalan.

Pelajar: Kenapa rakyat biasa banyak prosiding untuk (dapat) masuk dalam mahkamah?

Najib: Saya tak tahulah, kena tanya mahkamah, bukan saya punya kuasa.

Najib kemudian masuk ke kereta dan berlalu pergi, manakala pelajar terbabit bertemu pemberita dan melahirkan rasa tidak puas hatinya berhubung penjelasan Najib.

Katanya, dia mahu tahu bagaimana perbicaraan yang melibatkan Najib dijalankan.

“Kalau rakyat biasa tak dapat masuk, bagaimana nak tengok justice (keadilan) di Malaysia?” tegasnya.

Lelaki berkenaan bagaimanapun enggan mendedahkan namanya kepada pemberita.

Perbicaraan akan bersambung semula jam 9 pagi esok.

5.15pm: Muhammad Shafee berkata peguam bela Najib Razak memerlukan bahan bukti membabitkan komunikasi di antara pegawai perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping dan Low Taek Jho untuk membuktikan bekas perdana menteri itu tidak tahu-menahu berkenaan kesalahan yang didakwa ke atasnya.

Peguam kanan itu berkata demikian selepas hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan pegawai penyiasat di Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan Bank Negara itu mengemukakan dokkumen dan barangan lain yang dirampas daripada Yu semasa serbuan pada 6 Julai 2015.

"Perbualan di antara Joanna Yu dan Jho Low adalah penting kerana ia mencadangkan bahawa Jho Low cuba memberitahu Joanna mengenai transaksi berkenaan dan memastikan perdana menteri tidak tahu," katanya.

Hakim Mohd Nazlan

Hakim selepas itu menetapkan perbicaraan bersambung jam 9 pagi esok dengan saksi lain jika Ahmad Farhan belum selesai menyiapkan bahan bukti yang diperlukan pembelaan.

5pm: Mahkamah membenarkan permohonan peguam bela Najib Razak untuk mengarahkan seorang saksi pendakwaan untuk mengemukakan bukti memperincikan perbualan antara Ambank Joanna Yu Ging Ping dengan Low Taek Jho - atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Membenarkan hujah ketua pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata saksi keempat pendakwaan, Ahmad Farhan Sharifuddin perlu mengemukakan barangan yang dirampas dari bank terbabit pada 6 Julai 2015.

Dalam keterangan awalnya, Farhan, 32, mendakwa pergi ke bangunan Ambank di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada hari ia diserbu dua pasukan penyiasat berbeza Bank Negara.

Katanya dia bertemu dengan Yu di sana dan diberikan bukti berkenaan.

Menurut Mohd Nazlan, permohonan peguam bela Najib untuk mendapatkan bukti dimiliki Ahmad Farhan adalah relevan.

Menurut Harvinderjit pasukan pembelaan memerlukan e-mel dan telefon blackberry yang dirampas daripada Yu yang mungkin mengandungi perbualan di antara pengurus perhubungan awam Ambank berkenan dengan Jho Low serta individu lain yang berkaitan.

Selain Jho Low beberapa nama yang disenaraikan peguam itu ialah Nik Faisal Ariff Kamil, Jerome Lee Tak Loong, Terrence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Shahrol Azral Ibrahim, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Ismee Ismail, dan See Yoke Peng.

Shafee kemudian menambah pihaknya juga memerlukan rakaman rasmi mengenai komunikasi dengan orang lain yang mungkin dimiliki pihak bank dan tidak disita Bank Negara.

Mohd Nazlan membenarkan saksi terbabit menyemak semula apa yang ada dalam simpanannya yang menjadi bahan bukti.

4.05 petang: DPP Sithambaram membantah usaha peguam Najib yang mahu saksi pendakwaan membawa dokumen dirampas daripada serbuan pada 6 Julai 2015 dengan menyifatkannya sebagai percubaan mendapatkan sesuatu (fishing expedition).

Sithambaram berkata ia bertentangan dengan Seksyen 51 Akta Keterangan.

“Apa yang mereka buat ini adalah fishing expedition. Kita perlukan prosedur yang betul.

“Jika mereka asyik minta dokumen untuk teliti relevan atau tidak, boleh diterima atau tidak, ia akan jadi perbicaraan yang panjang,” katanya.

Harvinderjit pula mendakwa pihak pendakwaan cuba menghalang permohonan Najib.

Peguam utama Najib Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun berkata terpulang kepada mahkamah untuk membenarkan atau tidak.

Katanya, perkara itu berkaitan kerana Farhan merampas dokumen bank dari Ambank pada 6 Julai 2015 dan mempunyai kaitan dengan pembelaan Najib.

“Kami bukan minta komunikasi saksi dengan SPRM, hanya (dokumen) ini yang dalam miliknya yang tidak berada dalam pembelaan anak guam saya,” katanya.

3.30 petang: Peguam negara membantah soalan peguam Najib terhadap saksi pendakwaan Ahmad Farhan Sharifuddin.

Beliau memberitahu hakim, soal balas oleh Harvinderjit Singh itu menjejaskan kebolehterimaan dan perkaitan kes.

“Selain itu, di akhirnya, ia juga untuk perlindungan kepada tertuduh,” katanya sambil menambah ia mungkin menjejaskan perbicaraan kes lain yang dihadapi Najib.

Harvinderjit membalas dia perlu menjawab soalan berkaitan operasi akaun, yang antara lain milik Ganding Mentari dan tertuduh.

“Bagaiamanapun, terima kasih AG kerana ambil kira soal perlindungan anak guam kami,” katanya sebelum menyambung sesi soal balas.

2.45 petang: Saksi keempat pendakwaan Ahmad Farhan Sharifuddin berkata terdapat tiga kumpulan serbuan terhadap Ambank Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.

Katanya kumpulan-kumpulan itu diketuai oleh pegawai penyiasat Azizul Adzani Abdul Ghafar dan dua lagi pegawai.

Ahmad Farhan berkata dua lagi pasukan tidak diketuai oleh Azizul yang ketika itu membantu pasukan petugas khas yang dibentuk pada tahun itu.

2.19 petang: Najib kembali semula ke mahkamah dan terus ke bilik mahkamah di tingkat lima.

12.50 tengah hari: Najib keluar meninggalkan bangunan Mahkamah Kuala Lumpur. Difahamkan seramai 40 penyokong Najib dari Pekan yang berhimpun di mahkamah pagi tadi kini ke rumah anggota parlimennya untuk menunaikan solat hajat.

Najib juga difahamkan akan menemui mereka sebelum perbicaraan disambung jam 2.30 petang ini.

Terdahulu ketika pemeriksaan balas oleh DPP Suhaimi Ibrahim, Farhan mengesahkan telah menerima dokumen bank yang disita dari Ambank oleh pegawai Bank Negara antaranya, Azizul Adzani Abdul Ghafar.

12.10 tengah hari: Farhan mengesahkan dia mengarahkan pegawai serbuan Bank Negara Azizul Adzani Abdul Rahman menyerbu Ambank Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Farhan, 32, pegawai penyiasat di Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara pada masa itu berkata, dia memberi arahan kepada Azizul berkaitan salah laku disyaki berlaku bawah Bahagian 4 Amlatfa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soal balas utama oleh timbalan pendakwa raya (DPP).

Sebelum itu, Azizul yang juga pegawai penyiasat di bahagian sama, memberi keterangan bahawa dia menerima arahan dari Farhan untuk menyerbu bank komersial dan merampas dokumen bank berkaitan akaun Najib, SRC International dan anak syarikatnya Gandingan Mentari.

11.59 pagi: Pihak pendakwaan memanggil saksi keempat, iaitu pegawai penyiasat Bank Negara Farhan Sharifuddin.

11.08 pagi: Najib masuk semula ke kandang tertuduh. Prosiding bersambung dengan soal balas Harvinderjit terhadap Mohammad Nizam.

10.59 pagi: Tertuduh, bekas perdana menteri, Najib Razak mengambil tempat di bahagian galeri awam sementara prosiding berehat selama lima minit.

Sebelum itu, peguam Najib Harvinderjit Singh menyoal balas saksi ketiga pihak pendakwaan Mohammad Nizam Yahya berkaitan dokumen yang dirampas dari Affin Bank pada 6 Julai 2015.

Dokumen-dokumen itu berkaitan tiga akaun semasa SRC International di cawangan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Azizul Adzani Abdul Ghafar 

10.20 pagi: Saksi pendakwaan kedua, Pengurus Bank Negara Malaysia, Azizul Adzani Abdul Ghafar memberi keterangan beliau memasukkan sebab kesalahan yang disyaki di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa) berdasarkan transaksi yang disenaraikan dalam dokumen yang disita di Ambank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Semasa pemeriksaan balah oleh Timbalan Pendakwaraya (DPP) Suhaimi Ibrahim, pegawai penyiasat Bank Negara itu berkata sifat kesalahan yang disyaki dilihat dalam dokumen bank Najib, SRC International dan Gandingan Mentari yang dirampas membuatkan dirinya menyatakan kesalahan yang disyaki itu di bawah peruntukan Seksyen 4 (1) Amlatfa.

Pada keterangan terdahulu, pegawai BNM berusia 41 tahun itu memberitahu mahkamah perintah awal yang diberikan kepadanya sebelum serbuan pihaknya terhadap Ambank Raja Chulan adalah bertujuan mengumpul dokumen mengenai kesalahan yang disyaki di bawah Bahagian 4 Amlatfa.

Keterangan Azizul hari ini bagi menjawab pemeriksaan balas oleh peguam Najib Harvinderjit Singh yang menyoal mengenai percanggahan antara kesalahan yang disyaki pada Bahagian 4 dalam arahan awal dan kesalahan Seksyen 4 (1) yang dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat sehari selepas serbuan berkenaan.

10.15am - Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, menuduh pihak pendakwaan mengatakan sesuatu yang bukan dimaksudkan oleh saksi kedua pendakwaan.

Beliau memberitahu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pemeriksaan balas DPP Suhaimi Ibrahim menjejaskan pemeriksaan balasnya terhadap saksi itu.

"Dia (Suhaimi) meletakkan kata-kata dalam mulut saksi (putting words in the witness' mouth)," kata Harvinderjit berhubung pemeriksaan semulaoleh Suhaimi terhadap saksi kedua pendakwaan, Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Suhaimi meminta Azizul, seorang pegawai Bank Negara yang dilantik sebagai pegawai serbuan menjelaskan mengikut urutan peristiwa apabila beliau menyerbu Ambank Raja Chulan pada 6 Julai 2015, dan ketika beliau membuat laporan polis pada hari berikutnya.

Apabila Suhaimi cuba menyebut semula soalan itu, Harvinderjit meminta mahkamah memberikan arahan mengenai perkara itu.

Ini membuatkan Peguam Negara Tommy Thomas bangun membuat bantahan.

"Beliau (Suhaimi) mempunyai caranya sendiri mengendalikan (soal pemeriksaan balas)," balas Thomas dalam pertahanan Suhaimi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian meminta Suhaimi mengemukakan soalan itu.

9.45 pagi: Perbicaraan kes bermula dan bekas perdana menteri Najib Razak masuk ke kandang tertuduh dan duduk. Beliau dilihat meletakkan buku yang dibacanya sebelum ini.

9.32 pagi: Najib Razak masuk ke bilik mahkamah dan duduk di tempat duduk galeri awam. Sementara menunggu prosiding bermula, MP Pekan dilihat membaca buku.

Turut masuk ke bilik mahkamah peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan. Beliau mengambil tempat duduk di bahagian hadapan.

Terdahulu di bilik lain Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, bekas perdana menteri hadir pendengaran kes berlainan mengenai tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

9.25 pagi: Peguam Negara Tommy Thomas masuk ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 Kuala Lumpur bersama anggota pasukan pendakwaan lain.

9.05 pagi: Najib Razak tiba di bangunan mahkamah Kuala Lumpur. Najib menaiki kereta Proton Perdana berplat nombor TN 50. Sejurus turun dari kenderaannya, penyokong bekas perdana menteri yang majoritinya wanita berdoa terhadap pemimpin mereka.

Najib yang bersut coklat juga menadah tangan dan turut sama berdoa sebelum meninggalkan perkarangan lobi dan menuju ketingkat atas.

8:45 pagi: Seramai 40 Penyokong Najib dari Pekan Pahang tiba diperkarangan dan mereka memaklumkan sampi dari Pahang pada jam 5 pagi tadi.


Anggota parlimen Pekan itu berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Ahli politik berusia 65 tahun itu - yang pernah menjadi menteri kewangan sebelum ini - turut dihadapkan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dana yang sama.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

Kes Najib akan dibicarakan dihadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Perbicaraan hari ini akan bermula dengan pasukan peguambela Najib menyoal balas saksi ketiga pendakwaan, penganalisis Jabatan Perisikan Kewangan Bank Negara, Mohammad Nizam Yahya.

Pada hari ketiga perbicaraan semalam, Nizam, 39, memberi keterangan beliau telah mernyita dokumen berkaitan tiga akaun semasa anak syarikat SRC International, Ihsan Perdana Sdn Bhd di Affin Bank Berhad di Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.

Katanya, dokumen yang disita itu terdiri daripada borang pembukaan akaun, borang spesimen tandatangan, senarai pihak yang berkuasa menurunkan tandatangan, penyata berkaitan pembukaan akaun tersebut serta borang Customer Due Dilligence (CDD) bagi ketiga-tiga akaun itu.

Semalam, saksi pendakwaan kedua, pegawai penyiasat Bank Negara, Azizul Adzani Abdul Ghafar pula memberitahu mahkamah bahawa antara RM40 juta dan RM5 juta telah ditransaksi dalam akaun milik Najib, SRC International dan unitnya Gandingan Mentari Sdn Bhd antara 24 Disember 2014, dan 13 Februari 2015.

Azizul, 41, berkata hal ini diteliti pada dokumen mengenai akaun Najib dan kedua-dua syarikat yang dirampasnya dari cawangan Ambank di Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Serbuan terhadap kedua bank itu dibuat selepas empat hari akhbar perniagaan The Wall Street Journal melaporkan para penyiasat percaya sekurang-kurangnya AS$700 juta telah mengalir ke dalam akaun bank Najib.

Peguam Negara Tommy Thomas dijangka mengetuai pasukan pendakwaan yang terdiri daripada 13 orang, termasuk Sulaiman Abdullah, V Sithambaram, Manoj Kurup, Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashraf Adrin Kamaril, Muhammad Izzat Fauzan, dan Mohd Ashraf Adrin Kamaril.

Najib pula diwakili oleh pasukan pertahanan 13 orang yang diketuai oleh peguam veteran jenayah Muhammad Shafee Abdullah.

Sementara, ahli-ahli pasukan pembelaan ialah bekas peguam cara II Mohd Yusof Zainal Abiden, Harvinderjit Singh, Kamarul Hisham Kamaruddin, Chong Loong Men, Devanandan S Subramaniam, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.


BACA BERKAITAN:

Saksi senarai dokumen diambil dari Affin Bank

Proses salin dokumen makan masa, perbicaraan ditangguh

LANGSUNG: Hari pertama berakhir, perbicaraan bersambung 15 April

Lihat Komen