malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahfuz: Rundingan semula ECRL beri manfaat pada pekerja tempatan
ADS

Peningkatan 40 peratus berbanding 30 peratus pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar.

Beliau berkata peningkatan jumlah peratusan itu akan memberi peluang kepada kontraktor dan pekerja-pekerja Malaysia untuk turut sama terlibat dalam projek yang besar.

“Peningkatan ini meluaskan penglibatan pekerja negara ini yang menunjukkan kerajaan serius berunding semula dengan pihak China bagi memastikan kepentingan Malaysia diutamakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Langkawi hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada 12 April.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata projek ECRL perlu diteruskan kerana sekiranya dibatalkan kerajaan terpaksa membayar pampasan.

"Mahu tidak mahu perkara ini tidak boleh dibatalkan kerana perjanjian yang dibuat dahulu mengikat begitu ketat, kalau tidak laksana kena bayar pampasan, penalti dan sebagainya. Sudah tentu kerajaan yang ada hari ini membuat proses rundingan semula untuk melihat situasi menang-menang kepada Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz berkata kerajaan akan mengambil tujuh langkah tambahan untuk memantapkan lagi tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini.

Perkara tersebut ialah membuat pindaan bagi memantapkan perundingan dan piawaian KKP negara selaras kehendak semasa; merangka Program KKP Negara baru iaitu Pelan Induk KKP 2021-2025 serta pengurusan KKP di tapak bina membabitkan pereka bentuk, perunding dan pemaju OSH Construction Industry Management (OSHCIM).

Empat langkah lain ialah menyumber luar fungsi pemeriksaan jentera berperakuan; cadangan integrasi KKP ke dalam program TVET; mewujudkan pelaporan kemalangan dan penyakit pekerjaan berpusat serta mewujudkan sistem integrasi maklumat dan penguatkuasaan tempat kerja di peringkat kementerian.

“Kita harap langkah tambahan ini dapat mempertingkatkan lagi soal berkaitan kesedaran kerana masih ramai tidak menyedari perihal pentingnya isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya.

-Bernama

Lihat Komen