malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pilihan raya Indonesia: Bawaslu syor pemilihan semula untuk pengundi pos di KL
ADS

GLOBAL | Badan Pengawas Pilihan Raya Umum (Bawaslu) Indonesia mengesyorkan undi semula pilihan raya umum negara itu, melibatkan 319,293 pengundi pos warga itu di negara ini.

Ia berikutan penemuan lebih 50,000 kertas undi bertanda di dua lokasi di Kajang dan Bangi minggu lalu.

Ketua Bawaslu Abhan berkata, syor itu dibuat setelah penemuan bukti badan pengawasan di luar negara tidak menjalankan tugas secara profesional.

"Kami membuat syor untuk pemilihan semula melibatkan pengundi pos," kata Abhan ketika sidang media di ibu pejabat Bawaslu di Jakarta, hari ini.

"Mengambil kira semua undi dari luar negara sepatutnya dikira esok, kami juga mengesyorkan undi pos dari Kuala Lumpur tidak dikira," katanya lagi.

Beliau mengesahkan pihak berkuasa Indonesia setakat ini tidak diberi akses untuk mengesahkan kertas undi bertanda yang ditemui itu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harin dalam kenyataan Ahad lalu berkata, pihaknya sedang membantu polis Indonesia selepas dua laporan dibuat berkenaan insiden itu.

Kata Fuzi, memandangkan tiada pelanggaran terhadap undang-undang Malaysia, pihaknya telah menghubungi Indonesia untuk menentukan langkah seterusnya.

Selain pemilihan semula, Abhan berkata Bawaslu turut mencadangkan penggantian dua pegawai yang bertanggungjawab terhadap pilihan raya Indonesia di Kuala Lumpur, termasuk timbalan duta besar, Krishna KU Hannan.

Sebagai badan yang bertanggungjawab memantau kesalahan pilihan raya sepanjang kempen dan hari mengundi, Abhan turut mendedahkan beberapa penemuan termasuk cubaan membeli undi dengan wang tunai dan barangan.

Pengundi Indonesia di luar negara mengundi untuk pemilihan presiden dan legislatif pada Ahad lalu. Hari mengundi di Indonesia adalah esok.

Kira-kira 1.5 juta warga Indonesia di Malaysia mendaftar sebagai pengundi di lima lokasi - Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Tawau dan Kota Kinabalu.

Lihat Komen