malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ECRL dikecualikan, tender terbuka untuk projek akan datang - Ong
ADS

Tidak seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), projek infrastruktur di Malaysia pada masa depan akan dilakukan melalui tender terbuka tanpa berat sebelah terhadap syarikat dari mana-mana negara tertentu, kata Timbalan Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan melaksanakan dasar berat sebelah terhadap syarikat-syarikat dari China pada masa akan datang.

"Jawapannya tidak kerana ia jelas di bawah kerajaan Pakatan Harapan bahawa apa yang kita mahu beri penekanan adalah proses tender terbuka untuk semua projek terutama projek berskala besar.

"Kami tidak mendiskriminasi syarikat dari mana-mana negara, dan kami juga tidak menunjukkan sikap memilih kepada syarikat dari satu negara ke negara lain," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur bersempena forum 'Belt and Road' di Beijing dua minggu dari sekarang.

Beliau berkata ECRL dikecualikan kerana China Communications Construction Company (CCCC) telah menjalankan sebahagian besar daripada kerja-kerja tersebut.

Pada masa depan, katanya, syarikat dari seluruh dunia dialu-alukan untuk membida projek infrastruktur di Malaysia.

Malaysia memutuskan untuk menyambung semula projek ECRL minggu lepas selepas berjaya merunding semula projek itu dan menjimatkan RM21.5 bilion daripada kos asalnya sebanyak RM66.5 juta.

Projek itu kini merupakan usahasama antara CCCC dan Malaysia Rail Link.

Ong bercakap kepada media selepas mengadakan forum mengenai jangkaan Malaysia daripada Forum Belt and Road yang akan datang.

Semasa sesi soal jawab, Ong menjelaskan mengenai dinamika usaha sama itu apabila ditanya mengapa kontraktor Malaysia hanya diberikan 40 peratus kerja bagi projek berkenaan.

"Sebab utama mengapa kita mengadakan usahasama 50-50 adalah untuk berikan insentif kepada semua pihak yang terlibat untuk memastikan kemapanan kewangan projek.

"Salah satu kebimbangan kami adalah dari segi kos operasi menjalankan ECRL sebaik sahaja ia selesai. Kami tidak mahu aa kes di mana kontraktor utama akan dibayar untuk bahagian pembinaan dan kemudian tiada tanggungjawab dari segi kos operasi," katanya.

Beliau juga berkata penglibatan kontraktor Malaysia sebanyak 40 peratus adalah peningkatan daripada 30 peratus yang dipersetujui oleh kerajaan sebelum ini.

Lihat Komen