malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Isu pencemaran najis babi selesai menjelang hujung tahun -Exco
ADS

Masalah pencemaran najis babi di beberapa kampung sekitar Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang sudah berlarutan sejak 40 tahun lalu, dijangka selesai menjelang hujung tahun ini.

Exco Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin, berkata ini kerana pelaksanaan Enakmen Penternakan Babi 2016 sedang dilaksanakan kerajaan.

“Menjelang hujung tahun ini, semua penternakan babi wajib tukar kepada ladang tertutup. 

"Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Jabatan Veterinar akan ambil tindakan tegas kepada mereka yang melakukan pencemaran,” katanya kepada Malaysiakini.

Afif berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamed Idris hari ini.

CAP dalam satu kenyataan berkata pencemaran najis babi berkenaan dilaporkan semakin memburuk dan didakwa mengancam kesihatan lebih 2,000 penduduk.

Menurut Mohamed Idris, keadaan itu terjadi apabila pengusaha ternakan babi didakwa mengalirkan sisa buangan najis ternakan mereka ke sungai di kawasan tersebut sehingga menyebabkan airnya menjadi hitam pekat dan berbau busuk.

Menurutnya, tinjauan CAP mendapati keadaan bertambah teruk pada waktu malam dan ketika hujan di mana lebih banyak sisa najis babi dilepaskan oleh pengusaha terbabit.

Masalah itu juga menyebabkan sumber bekalan air untuk tanaman padi yang diusahakan oleh para pesawah di beberapa kampung berdekatan tercemar dan mengalami kerosakan.

Idris berkata, selain di Kampung Selamat, sekurang-kurangnya 400 pesawah di kampung-kampung sekitar iaitu Kampung Air Melintas Kecil, Kampung Air Melintas Besar,Kampung Permatang Berangan, Kampung Tok Bedu dan Kampung Kubang Menerong turut terjejas.

Untuk rekod pada 2016, Afif berkata kerajaan negeri Pulau Pinang akan melaksanakan sistem ladang tertutup bagi penternakan babi di negeri itu.

Lihat Komen