Pengiklanan

    2 exco kerajaan Johor bakal digugurkan?


    (Dikemaskini )

    Sehari sebelum Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah Ahad lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menetapkan syarat kepada menteri besar baru - rombak barisan exco.

    Sahruddin juga telah membayangkan perkara sama.

    Sumber yang arif dengan perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa antara yang bakal digugurkan ialah Mazlan Bujang (Bersatu-Puteriwangsa) dan Tan Hong Pin (DAP-Skudai).

    Mazlan ialah exco kerja raya, infrastruktur dan pengangkutan manakala Tan yang juga setiausaha DAP Johor memegang portfolio kerajaan tempatan, sains dan teknologi.

    Menurut sumber, mereka berdua kurang disenangi istana.

    Sebelum Pakatan Harapan (PH) menang di Johor pada PRU ke-14, Tan yang ketika itu menjadi adun Mengkibol, tidak setuju dengan pendirian Sultan Ibrahim agar sidang DUN tidak disiarkan secara langsung pada 2017.

    Beliau juga menggesa kerajaan BN ketika itu untuk memujuk Sultan Ibrahim berkenaan perkara itu.

    Tan Hong Pin

    Selepas PH mentadbir negeri itu, Tan berdepan keadaan sukar yang berpunca daripada dua ahli pihak berkuasa tempatan, memandangkan ia di bawah portfolionya.

    Insiden pertama melibatkan ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang mengeluarkan surat rasmi dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Tan kemudian menjelaskan surat itu juga mempunyai versi BM, tetapi hanya versi dua bahasa itu yang disebarkan di media sosial.

    Insiden kedua berkenaan komen 'biadab' ahli Majlis Daerah Pontian terhadap Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Mazlan Bujang

    Sementara itu, sumber juga mendakwa Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong telah dimaklumkan tentang Tan yang bakal digugurkan.

    Ketika dihubungi, Liew memberitahu Malaysiakini bahawa Sahruddin tidak membincangkan kemungkinan rombakan exco dengannya.

    "Menteri besar baru belum membincangkannya dengan saya," katanya yang enggan mengulas lanjut perkara itu.

    Tan juga enggan mengulas spekulasi itu tetapi memberitahu Malaysiakini beliau akan menyerahkan nasibnya untuk ditentukan kepimpinan DAP.

    Mazlan setakat ini belum dapat dihubungi.

    Jika mereka digugurkan, Sahruddin perlu memenuhi tiga kekosongan dalam barisan exco, termasuk portfolio yang sebelum ini dipegang bekas menteri besar Osma Sapian.

    Sumber PH memberitahu Malaysiakini mereka yang berpotensi dilantik ialah Mohd Solihan Badri (Bersatu-Tenang), Che Zakaria Mohd Salleh (Bersatu-Permas) dan Andrew Chen Kah Eng (DAP-Stulang).

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih