Pengiklanan

    'Kereta api berkelajuan tinggi bukan projek benar-benar perlu'

    (Dikemaskini )

    Kereta api berkelajuan tinggi (HSR) bukan projek yang ‘benar-benar perlu’ bagi Malaysia buat masa ini memandangkan ia hanya menghubungkan Singapura dan Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau berkata sebaliknya tumpuan Malaysia kini adalah usaha mempertingkat kualiti perkhidmatan kereta api sedia ada.

    Bagaimanapun, katanya, Malaysia mungkin perlu membangunkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi kelak bagi laluan Johor Bahru-Pulau Pinang atau ke sempadan Thailand.

    “Jadi, kita tidak akan membangunkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi buat masa ini, sebaliknya kita mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh sistem tren kita, dan ia sedikt sebanyak telah dilaksanakan, iaitu landasan berkembar dan elektrik,” katanya semasa sesi soal jawab selepas berucap di pameran Technomart Rail 2019 di Putrajaya, hari ini.

    Dr Mahathir berkata projek HSR tidak memberi manfaat sekiranya perjalanannya hanya 30 minit lebih cepat kerana pengguna juga mengambil masa untuk pergi ke stesen kereta api.

    “Sekiranya kepanjangan landasan memuaskan serta dapat menjimatkan dua hingga enam jam, jadi saya berpendapat projek kereta api berkelajuan tinggi adalah jawapannya (boleh dilaksanakan),” katanya.

    Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura telah digantung pada September tahun lepas sehingga akhir Mei 2020 susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan.

    Ketika ditanya pemberita sekiranya kerajaan berunding dengan Singapura untuk projek HSR dilaksanakan selepas tempoh itu, Dr Mahathir berkata: “Buat masa ini, kita tidak akan membangunkannya. Kita telah memohon tempoh dua tahun sebelum kita merundingkan semula HSR. Pada masa ini, kerajaan tidak menawarkan sebarang kontrak, namun kita perlu menbayar pampasan kepada Singapura kemudian.”

    Apabila ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbang beberapa bentuk pengurangan cukai ke atas industri kereta api, beliau berkata kerajaan akan meneliti perkara itu dan mungkin mengubah sistem cukai tersebut.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih