malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mokhtar: Walaklah atau ahli PAS dijerat mainan syaitan
Diterbitkan:  Apr 16, 2019 2:12 PM
Dikemaskini: 6:12 AM
ADS

Seorang tokoh ulama PAS menyarankan dua kaedah kepada anggota parti itu untuk memastikan faham langkah diatur pemimpin mereka.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik berkata anggota parti mesti memahami tindakan diambil pimpinan mereka melalui ilmu yang betul.

Jika gagal, kata Mokhtar, mereka masih tetap perlu memberikan walak kepada pimpinan serta parti.

Kegagalan berbuat demikian, kata bekas ketua Dewan Ulama PAS Pahang itu, anggota parti akan terdedah kepada tipu helai syaitan.

"Jika dengan ilmu anda gagal memahaminya, dan gagal pula memberikan walak, maka terdedahlah anda kepada mainan syaitan.

"Pada waktu itu tiada jaminan yang anda akan teguh bersama jamaah dan perjuangan," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tidak dapat dipastikan kepada siapa nasihat tersebut ditujukan namun ia membayangkan wujud rasa tidak puas hati sesetengah anggota PAS ketika ini.

Untuk rekod PAS kini menjalin kerjasama erat dengan Umno dan BN dalam gerak kerja pembangkang menghadapi kerajaan PH.

Bagaimanapun difahamkan tidak semua anggota PAS - terutama di bahagian Pantai Timur - menerima kerjasama itu dengan baik. Antara lain ia disebabkan perseteruan dan persaingan panas di antara PAS dan Umno suatu ketika dulu.


Baca Rameli dakwa jadi mangsa 'politik melampau'


Isu penerimaan wang daripada orang Umno serta penarikan balik saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang ke atas pengarang Sarawal Report, Clare Rewcastle Brown, dan perkembangan di sebalik penyelesaian luar mahkamah itu juga menimbulkan kegelisahan sesetengah anggota PAS.

Kata Mokhtar seseorang yang terlanjur gagal memahami tindakan pemimpin parti atau tidak memberikan walak akan berdepan kerugian amat besar.

Menurutnya dalam keadaan begitu mati adalah lebih baik daripada hidup.

"Apabila anda sudah berada dalam belitan dan permainan syaitan, maka perut bumi (mati) lebih baik bagi anda berbanding belakang bumi (iaitu hidup)," katanya.

Lihat Komen