malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kalah di Rantau tak ubah kerajaan, kata Mahathir
Diterbitkan:  Apr 16, 2019 2:09 PM
Dikemaskini: 7:26 AM
ADS

Kekalahan PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil Rantau, Sabtu lalu, tidak mengubah kerajaan sedia ada, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga pengerusi PH mengakui lazimnya, parti kerajaan tidak mendapat sokongan dalam mana-mana PRK.

“Apapun yang berlaku dalam pilihan raya kecil, parti mana pun yang menang, kerajaan (Pusat) tetap sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Technomart Rel 2019 di Cyberjaya hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas keputusan PRK Rantau yang menyaksikan calon PH Dr S Streram kalah kepada calon BN Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Umno itu menang dengan memperoleh 10,397 undi dan mengatasi tiga pencabarnya dengan majoriti 4,510 undi.

Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menyandang kerusi berkenaan sejak 2004.

Mengenai kenyataan bekas Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin berhubung kerajaan PH dijangka menunaikan janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-14 dalam tempoh enam bulan, Dr Mahathir berkata kerajaan berdepan banyak masalah.

“Kita tidak ada wang. Wang telah dicuri. Itu masalah kita. Anda nak buat apa-apa… duit tak ada,” katanya

Daim semalam dilaporkan berkata beliau menjangka rakyat kembali menyokong kerajaan apabila kerajaan menunaikan janjinya, terutama berhubung ekonomi.

Lihat Komen