malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MIER unjur KDNK 2019 Malaysia tumbuh pada 4.5 peratus
Diterbitkan:  Apr 16, 2019 1:08 PM
Dikemaskini: 7:30 AM
ADS

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) Malaysia bagi 2019 akan mencecah tahap sederhana sebanyak 4.5 peratus berbanding 4.7 peratus pada tahun lepas.

Pengarah Eksekutif Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid berkata angka yang lebih sederhana itu adalah disebabkan kelembapan dalam permintaan global serta tempatan.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi dunia akan berkembang pada 3.3 peratus pada 2019, berbanding 3.6 peratus pada tahun lepas.

"Terdapat risiko-risiko yang semakin meningkat dengan pertumbuhan global mula condong ke arah sisi negatif, kebanyakannya disebabkan oleh faktor-faktor yang berkaitan dengan dasar perdagangan yang tidak menentu serta sentimen pasaran kewangan yang semakin lemah," katanya kepada pemberita selepas taklimat korporat ekonomi MIER ke-24 di Kuala Lumpuri hari ini.

Ketegangan perdagangan yang semakin serius, bersama-sama dengan kebimbangan lain seperti pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam ekonomi sedang pesat membangun, telah menyebabkan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi China yang lemah berikutan krisis perdagangan dengan Amerika Syarikat, memberi kesan sampingan ke atas kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Zakariah berkata, eksport bersih negara dijangka akan menguncup kepada 3.4 peratus daripada penguncupan sebanyak 1.4 peratus pada 2018, dan dengan berlatar belakangkan pertumbuhan global yang lebih perlahan, ekonomi Malaysia perlu banyak bergantung kepada permintaan dalam negeri untuk memacu pertumbuhan.

Bagaimanapun, permintaan domestik dijangka meningkat dengan lebih perlahan, berpunca daripada kelembapan permintaan dalam penggunaan dan pelaburan.

"Kelembapan dalam pelaburan swasta adalah disebabkan oleh kesederhanaan dalam aliran pelaburan global termasuk penurunan permintaan bagi barang-barang perkilangan," katanya.

Kerajaan dijangka akan meningkatkan rangsangan fiskal sebagai pemangkin pertumbuhan, kerana ianya akan memperhebatkan modal pembalikan disebabkan oleh normalisasi dasar monetari di kalangan negara ekonomi maju dan pengimbangan aliran keluar modal.

Pengaliran keluar modal akan mengenakan tekanan kepada nilai ringgit yang seterusnya, akan menjejaskan pengeluaran domestik dan penggunaan.

"Pada tahun lepas, rizab antarabangsa Bank Negara menyusut disebabkan tekanan ke atas ringgit.

"Bagaimanapun, rizab tersebut telah mula meningkat pada tahun ini, selepas susut selama empat suku tahun berturut-turut, ini mencerminkan pengukuhan ringgit," katanya.

Zakariah ketika mengulas mengenai prospek komoditi, menjelaskan unjuran global agak bercampur-campur bagi tahun ini.

Permintaan terhadap komoditi pertanian, terutamanya minyak sawit mentah (MSM), dijangka menokok berikutan peningkatan jumlah dan ditambah pula, harga yang lebih baik.

"Harga MSM dijangka akan mencecah RM2,700 satu tan pada tahun ini, berbanding dengan purata sebanyak RM2,232 satu tan pada tahun lepas," katanya sambil menambah bahawa kenaikan ini dibantu oleh peningkatan permintaan bagi biodiesel dan ringgit yang lebih lemah.

Sementara itu, Zakariah berkata, permintaan terhadap produk-produk petroleum adalah suram di tengah-tengah pertumbuhan global yang lebih perlahan.

Kenaikan harga minyak mentah selepas mencatatkan kejatuhan pada penghujung tahun lepas adalah disebabkan oleh gangguan bekalan, katanya.

"Harga dijangka akan mencecah pertengahan AS$70 setong pada separuh pertama tahun ini tetapi ia akan bersifat sementara sebelum jatuh kembali kepada AS$60 setong pada separuh kedua 2019," katanya.

- Bernama


Lihat Komen