malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pembangunan bukan lesen musnahkan alam - Sultan Nazrin
Diterbitkan:  Apr 16, 2019 11:29 AM
Dikemaskini: 4:23 AM
ADS

Pembangunan bukan lesen untuk menghalalkan perbuatan memusnahkan alam, demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah pembangunan yang tidak dirancang secara seimbang dan dilaksanakan tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekeliling (EIA) khususnya di kawasan tanah tinggi akan merosakkan alam sekitar.

"Pembangunan yang tidak terkawal tanpa kebenaran di Tanah Tinggi Kinta (Perak) yang bersempadan dengan Cameron Highland dan Lojing, Kelantan, dilaporkan telah mengakibatkan hakisan dan kelodak yang serius.

"Kerajaan beta (kerajaan negeri Perak) tidak akan berkompromi terhadap peneroka tanah secara haram. Sikap berlembut, sikap bertolak ansur akan memberikan mesej salah dan bakal menggalakkan berlaku lebih banyak penerokaan tanah secara haram," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 102 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion Pertama Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta diketuai DSP Muhammad Ulul Azmi Muhamed.

Sultan Nazrin juga bertitah pencemaran alam sekitar wajib diberikan perhatian serius dengan Jabatan Alam Sekitar bersama Kerajaan Tempatan perlu tegas melakukan pemantauan berkala bagi memastikan tahap piawaian dipatuhi.

"Semua kilang kitar semula plastik telah diarah melaksanakan kajian EIA, kilang yang beroperasi secara haram wajib ditutup tanpa berlengah. Kesedaran untuk meminimumkan penggunaan plastik wajib disemai dalam minda rakyat," titah baginda.

Mengenai status bebas cukai Pulau Pangkor, Sultan Perak itu bertitah kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan untuk menetapkan tarikh pewartaan pada 1 Jan 2020 dan pelbagai gerak kerja untuk merealisasikan status tersebut sedang dirintis.

Sultan Nazrin mengingatkan supaya usaha-usaha membantu penduduk tempatan agar mendapat limpahan manfaat hendaklah dijadikan antara agenda pembangunan Pulau Pangkor.

"Ini demi memastikan penduduk di pulau tersebut tidak bernasib Lebai Malang, menang sorak kampung tergadai, tertinggal sebagai penonton pasif, berputih mata melihat dagang lalu ditanak sedangkan anak di riba mati tak makan," titah baginda.

Selain itu, Sultan Perak bertitah kerajaan negeri akan terus meningkatkan usaha menarik pelaburan terutama dari luar negara dengan mengutamakan yang berteknologi dan berkualiti tinggi, tidak mencemar alam sekitar serta tidak bergantung pada tenaga kerja asing bergaji rendah.

Baginda juga bertitah agar kesilapan melakukan pelaburan dalam urus niaga kurang berdaya maju yang terjadi sebelum ini sehingga meninggalkan tanggungan berat kewangan kepada negeri dijadikan pengajaran.

"Kerajaan negeri turut menekankan pentingnya badan-badan dan syarikat-syarikat yang diwujudkan di bawah pelbagai agensi negeri melakukan penilaian risiko yang teliti sebelum melibatkan diri dalam projek-projek baharu," titah Sultan Nazrin.

Pada akhir titah, baginda mengingatkan pihak kerajaan negeri serta Anggota Dewan Undangan Negeri sama ada kerajaan atau pembangkang supaya berperanan secara konstruktif dalam semangat saling melengkapi agar perkhidmatan terbaik dapat dinikmati rakyat.

- Bernama

Lihat Komen