malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nov ini Najib dibicara bersama Arul Kanda pula
ADS

Perbicaraan Najib Razak dan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengenai dakwaan mereka "meminda" laporan akhir pengauditan syarikat itu akan bermula Nov ini dan Januari tahun depan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah menetapkan perbicaraan bersama itu akan bermula dari 18 Nov hingga 29 Nov sebelum disambung pada 13 Jan hingga 17 Jan 2020.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu pagi ini selepas kedua-dua peguam tertuduh bersetuju untuk mengadakan perbicaraan bersama.

N Sivananthan bertindak sebagai penguam bela Arul Kanda manakala Najib diwakili oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof memberitahu mahkamah pihaknya akan memanggil antara 25 hingga 30 saksi sepanjang tempoh perbicaraan.

Mohamed Zaini menetapkan pengurusan bagi kes itu dibuat pada 29 Ogos.

Selepas ketetapan tarikh dibuat, Arul Kanda dan Najib pergi ke mahkamah lain dalam kawasan sama bagi menghadiri perbicaraan membabitkan tuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah anggota parlimen Pekan itu.

Pada 12 Dis 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya laporan akhir pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu perdana menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan tersebut, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen