malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lepas ceramah dengan Umno Idris dapat bantal
Diterbitkan:  Apr 16, 2019 10:20 AM
Dikemaskini: 2:24 AM
ADS

PAS dan ceramah boleh dikatakan gabungan yang tidak dapat dipisahkan.

Dari semasa ke semasa pemimpin parti itu menghadiri sesi ceramah di seluruh pelusuk negara. Dan biasanya - jika penganjur berkemampuan - penceramah akan diberikan sedikit sumbangan saguhati. Biasanya dalam bentuk wang.

Bagaimanapun berbeza dengan pengalaman salah seorang naib presiden parti itu, Idris Ahmad, yang berceramah di Johor Bahru semalam.

Bekas anggota parlimen Bukit Gantang itu dihadiahkan sebiji bantal.

Beliau yang memuat naik gambarnya bersama bekas anggota parlimen Johor Bahru, Shahrir Abdul Samad menerima bantal jenama "Leyna" daripada pihak penganjur.

"Hadiah bantal oleh penganjur ceramah semalam di Johor Bahru. Penganjur tahu, selalu tidur dalam kereta kot... hahaha..." tulis beliau dalam satu hantaran di Facebooknya.

Menurut Idris beliau sudah terbabit dalam kegiatan berceramah selama 36 tahun dan sepanjang tempoh itu tidak pernah mendapat hadiah bantal.

"Tiba-tiba pengajur ceramah Perpaduan Ummah di Johor Bahru menghadiahkan bantal," katanya.

Beliau menambah hadiah tersebut diberikan mungkin kerana penganjur sedar sebagai penceramah pemimpin parti sepertinya selalu bergerak ke sana sini.

Keadaan itu katanya menyebabkan aturan tidur tidak seperti biasa.

"Alhamdulillah, mungkin pengajur faham, kami penceramah ini, kereta merupakan bilik tidur kedua," katanya.

Pada masa sama kata Idris, beliau mendapat 'nikmat' yang tersendiri berhubung tidur.

Katanya beliau diberikan kelebihan mudah tidur.

"Kadang-kadang lepas ceramah tidak sempat (kereta yang dinaiki) masuk gear dua, sudah lena. Banyak orang boleh beli tempat tidur, tetapi tidak boleh beli tidur.

"Tidur sebahagian daripada nikmat Allah. Syukurlah," katanya.

Lihat Komen