malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Hari ketiga perbicaraan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak dijadual bermula jam 9 pagi ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Anggota parlimen Pekan itu berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Ahli politik berusia 65 tahun itu - yang pernah menjadi menteri kewangan sebelum ini - turut dihadapkan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dana yang sama.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

 Seperti biasa Malaysiakini membawakan liputan secara langsung perbicaraan kes berprofil tinggi ini.

LANGSUNG

Perbicaraan disambung esok

5.05pm: Tamat hari ketiga perbicaraan kes Najib berkaitan SRC International dan akan bersambung semula pada pukul sembilan pagi esok.

Perbicaraan dijangka bermula dengan soal balas pembelaan terhadap saksi ketiga, Muhammad Nizam Yahya.

Terdahulu, Nizam - penganalisis Unit Risikan Kewangan Bank Negara - berkata dia tiba di pejabat Affin Bank di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, pada pukul 10 pagi 6 Julai 2015.

Menurutnya, dia memberikan notis bawah Seksyen 37(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 kepada ketua pegawai perundangan Affin Bank, dan juga setiausaha bank itu Nimma Safira Khalid.

Katanya lagi, pihak bank kemudian menyerahkan dokumen akaun bank berkaitan subsidiari SRC International, Ihsan Perdana.

Ketika disoal peguam Najib, Havinderjit Singh, Nizam berkata dia dan dua lagi pegawai Bank Negara di bank itu dari pukul 10 pagi hingga antara 8.30 ke 9 malam.

Nizam berkata, antara dokumen yang diambil ialah borang Real-time Electronic Transfer of Funds and Securities System (Rentas) berkaitan tiga akaun bank Ihsan Perdana.

Havinderjit meminta Nizam membawa borang Rentas ketika perbicaraan esok.

Najib dilihat meninggalkan kompleks mahkamah pada pukul 5.15 petang.

4.22pm: Perbicaraan diteruskan dengan soal balas terhadap Penganalisis Bank Negara, Muhammad Nizam Yahya.

Najib kembali ke mahkamah tidak lama kemudian.

4.02pm: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan perbicaraan berhenti untuk rehat.

Ia selepas permohonan dari kedua-dua pihak - pembelaan dan pendakwaan - agar diberi masa untuk menyusun bukti dokumen berkaitan keterangan Nizam.

Najib turun ke kafeteria di tingkat bawah, diiringi lima orang penyokong.

Saksi senarai dokumen bank berkaitan subsidiari SRC

3.46pm: Nizam memberi keterangan bahawa Affin Bank menyerahkan maklumat tiga akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd kepadanya selepas dia memberi notis kepada bank itu.

Nizam menyenaraikan dokumen yang diberi wakil Affin Bank di Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.

Menurutnya, dia diberikan borang buka akaun; borang spesimen tandatangany; senarai penandatangan sah; borang due dilligence pelanggan untuk tiga akaun itu, dan kenyataan akaun berkaitan dengan pembukaan akaun tersebut.

Saksi ketiga dipanggil

3.30pm: Nizam memberi keterangan bahawa dia memberi notis kepada Affin Bank Berhad, mengikut Seksyen 37(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlafta), pada 6 Julai 2015.

Ketika soal balas dengan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, penganalisis Bank Negara itu berkata notis itu mengarahkan Affin Bank untuk menyerahkan dokumen berkaitan subsidiari SRC International, Ihsan Perdana Sdn Bhd.

3.20pm: Selesai soal balas dengan pegawai penyiasat Bank Negara Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Mengambil tempatnya di kandang saksi ialah saksi pendakwaan ketiga iaitu Muhammad Nizam, 39.

Dia merupakan penganalisis di Jabatan Risikan Kewangan Bank Negara.

Lapor polis lepas geledah ialah SOP

3pm: Azizul memberitahu dia membuat laporan polis berkenaan serbuan dan penggeledahan di Ambank cawangan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Ketika soal balas dengan Harvinderjit, saksi pendakwa kedua itu berkata dia membuat laporan selepas operasi itu selesai.

Katanya, ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) untuk membuat laporan polis selepas setiap serbuan.

Apabila Harvinderjit bertanya jika ada kertas siasatan lain berkenaan serbuan itu dibuka, Azizul berkata dia tidak tahu.

2.45pm: Perbicaraan bersambung

Perbicaraan diteruskan dengan soal balas peguam Najib, Harvinderjit Singh dengan pegawai penyiasat Bank Negara, Azizul Adzani Abdul Ghafar.

2.34pm: Najib kembali semula ke mahkamah, menaiki kereta Proton Perdana Hitam dengan nombor pendaftaran TN50.

Tampat sedikit keletihan, beliau mengambil masa beberapa minit sebelum keluar dari kereta dan menuju ke galeri awam untuk menunggu perbicaraan disambung.

12.55pm: Najib Razak meninggalkan mahkamah menaiki kereta yang sedia berada di luar.

Beliau kelihatan tersenyum ketika diiringi tujuh orang penyokongnya.

Kedengaran juga Najib berkata: "Banyak wartawan... (menunggu di perkarangan mahkamah)” dan sempat bersalam dengan dua penyokongnya sebelum masuk ke kenderaan.

12.53pm: Perbicaraan berehat dan akan bersambung jam 2.30 petang.

11.45am: Saksi pendakwaaan, Azizul Adzani Abdul Ghafar, meneruskan keterangan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Disoal peguam Najib Razak, pegawai Bank Negara itu berkata dokumen yang diambil pasukan penyiasat dari bank terbabit diserahkan oleh Pengurus AmBank cawangan Jalan Raja Chulan, R Uma Devi tanpa diminta secara khusus.

Kata Azizul Adzani, pada hari serbuan itu dibuat Uma Devi juga menyerahkan kepadanya dokumen bank pada jam kira-kira 9.15 malam.

Menurut Azizul Adzani lagi, Uma Devi keluar dari pejabat dan melihat dia masih berada di pejabat bank berkenaan lalu menyerahkan dokumen yang memperincikan transaksi khusus.

Katanya dokumen yang diberikan oleh pegawai bank terbabit sebelum itu tidak memperincikan transaksi tersebut.

11.32am: Perbicaraan bersambung semula.

11.10am: Perbicaraan berhenti rehat.

11am: Pegawai penyiasat Bank Negara Azizul Adzani Abdul Ghafar berkata antara dokumen yang diserahkan kepadanya oleh kakitangan AmBank cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015 ialah berkaitan transaksi dana berjumlah RM40 juta dan RM5 juta yang dibuat di antara Dis 2014 hingga Feb 2015.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan akaun yang mana satu terlibat.

Azizul Adzani

10.30am: Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, menyoal balas saksi kedua pendakwaan, Azizul Adzani Abdul Ghafar, mengenai pembabitannya dalam serbuan ke atas AmBank cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Menurut Azizul dia tiba di premis terbabit pada waktu pagi dan berada di sana sehingga jam 9 malam untuk menunggu satu pasukan penyiasat lain menyelesaikan sebuan berasingan di tempat sama.

Bagaimanapun dia tidak tahu siapa lagi terbabit dalam serbuan berkenaan selain pegawai Bank Negara yang bersama dengannya. 

Azizul Adzani juga tidak tahu apa dokumen atau barangan lain yang diambil kumpulan kedua tersebut.

9.42am: Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu mahkamah, isu berkaitan salinan dokumen yang menyebabkan prosiding ditangguhkan semalam sudah diselesaikan.

9.40am: Najib memasuki kandang orang kena tuduh untuk memulakan prosiding.

9.32am: Tertuduh Najib Razak, bersama ketua pegum belanya, Muhammad Shafee Abdullah memasuki mahkamah. 

Tidak seperti semalam apabila hadir bersama buku, bekas perdana menteri itu hari ini sekadar duduk di galeri awam sambil melihat telefon genggamya manakala Muhammad Shafee menyertai peguam bela lain di tempat yang disediakan.

8.58am: Ketua pasukan peguam bela Najib, Muhammad Shafie Abdullah tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Muhammad Shafee

8.50am: Peguam Negara Tommy Thomas dan pasukan pendakwaan memasuki Mahkamah Tinggi Jenayah 3 dan bersedia untuk memulakan prosiding.

Peguam Negara Tommy Thomas dijangka mengetuai 13 anggota pasukan pendakwaan membabitkan Sulaiman Abdullah, V Sithambaram, Manoj Kurup, Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashraf Adrin Kamaril, Muhammad Izzat Fauzan, dan Mohd Ashraf Adrin Kamaril.

Najib pula diwakili 13 peguam bela diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam bela lain yang terbabit ialah Mohd Yusof Zainal Abiden, Harvinderjit Singh, Kamarul Hisham Kamaruddin, Chong Loong Men, Devanandan S Subramaniam, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah, dan Zahria Eleena Redza.

8.48 am: Najib tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Lumpur dengan menaiki kereta Proton Perdana hitam bernombor plat TN50.

Najib yang memakai sut kelabu bersalaman dengan beberapa petugas media sebelum melangkah menuju ke tingkat atas bangunan itu.

Lihat Komen