malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM tahan 3 lelaki didakwa kemuka tuntutan palsu pada UTM
ADS

Seorang pegawai kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan antara tiga lelaki yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini, kerana bersubahat dalam mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM689,000.

Menurut sumber, dua lagi yang ditahan merupakan seorang pengarah sebuah syarikat swasta dan seorang pensyarah di Kolej Komuniti Ampang.

Ketiga-tiga mereka ditahan pada pukul 2.30 petang di pejabat SPRM negeri bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang ditahan berusia 40 hingga 50 tahun itu bersubahat mengemukakan tuntutan palsu kepada UTM berkaitan perbelanjaan program Dana Kebolehpasaran Graduan berjumlah RM689,000 pada awal 2015 sedangkan program tidak dilaksanakan,” kata sumber berkenaan hari ini.

Pengarah SPRM negeri Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kesemua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi permohonan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

- Bernama

Lihat Komen