Pengiklanan

    Jati diri Melayu dalam cahaya Malaysia Baru


    (Dikemaskini )

    ULASAN | Dilema Melayu tentang jati diri yang dibangkitkan semenjak zaman Munsyi Abdullah, Tun Abdul Razak, dan Tun Dr Mahathir Mohamad hinggalah ke zaman sekarang ini nampaknya masih belum usai.

    Manakan tidak, Mahathir yang pernah membangkitkan isu kelemahan kaum Melayu menerusi buku The Malay Dilemma pada tahun 1970, kini kembali berhadapan dengan isu yang sama biarpun selepas lebih 16 tahun meninggalkan tampuk pemerintahan negara.

    Mentaliti orang Melayu yang sukar berubah mengehadkan usaha reformasi minda dan struktur politik negara yang masih berasaskan perkauman.

    Penetrasi budaya dan politik baru masih gagal menembusi korteks politik lama yang kukuh dipertahankan oleh majoriti masyarakat Melayu.

    Orang Melayu yang terkenal dengan sifat taat setia, pantang derhaka dan amat menyanjungi pemerintah, tidak akan mudah melupakan budi yang telah ditanam oleh rejim lama.

    Hegemoni 60 tahun parti Umno dan BN telah tumbang, namun utuk membawa keluar kaum Melayu keluar daripada korpus politik lama merupakan satu cabaran yang besar.

    Budaya politik lama yang berkisar perjuangan kaum, amalan penaungan dan sikap materialistik masih tebal mendasari politik tanah air. Walaupun pejuang politik lama iaitu Umno dan BN sudah kehilangan kuasa namun agenda politik mereka masih diteruskan dengan harapan dapat kembali ke tampuk pemerintahan.

    Jiwa hamba

    Sementara itu cahaya Malaysia Baru yang dijanjikan PH menerusi agenda politik baru masih jauh untuk digapai. Persoalan sejauh mana dan bagaimana kerajaan berupaya menerapkan budaya politik baru ke dalam masyarakat di negara ini masih menjadi tanda tanya.

    Politik baru yang berasaskan keadilan, good governance, mengangkat suara rakyat, keterbukaan, ketelusan dan kedaulatan undang-undang seakan-akan sukar dihadam oleh masyarakat negara ini.

    Mungkin kerana konsep berpolitik dalam era Malaysia Baru ini tiada unsur materialistik yang dapat ditawarkan menyebabkan ia kurang mendapat sambutan daripada rakyat berbanding gaya politik lama yang begitu memanja-manjakan rakyat dengan tongkat dan pelbagai kemewahan.

    Seperti peribahasa, baru dianjur, sudah tertarung, kerajaan PH berdepan dengan pelbagai cabaran dan kekangan untuk mengarus perdanakan budaya politik baru sebaik sahaja mengambil alih kuasa pemerintahan.

    Masalah paling besar sudah tentu sekali berkait dengan jati diri orang Melayu itu sendiri. Orang-orang Melayu dilihat masih mahu bergantung kepada bantuan kerajaan tanpa mempedulikan cara dan bagaimana bantuan tersebut diperoleh.

    Biarlah bantuan itu datang daripada sumber yang meragukan sekalipun, namun ia bukan menjadi persoalan asalkan segala kemahuan dapat dipenuhi.

    Keadaan ini boleh dilihat apabila mantan perdana menteri, Najib Razak yang terpalit dengan puluhan pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa masih diagung-agungkan kerana budi dan jasa beliau yang banyak menghulurkan 'fief' kepada orang Melayu.

    Dalam konsep politik neofeudal Umno dan BN, program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kedudukan dan pangkat dalam pelbagai organisasi dan segala bantuan tunai serta imbuhan kewangan merupakan sumbangan besar Najib Razak yang tidak dapat dilupakan.

    'Fief' yang ditabur pada zaman politik lama juga melahirkan ‘jiwa hamba’ terutamanya dalam kalangan orang Melayu yang banyak terhutang budi kepada rejim Umno dan BN. 

    Jiwa hamba tersingkap jelas apabila terdapat segelintir orang Melayu dengan megahnya mewiridkan kata ‘malu apa Bossku’ yang sudah menjadi cogan kata bagi menyokong setiap tindak tanduk bekas orang nombor satu itu.

    Hal ini menunjukkan betapa rendahnya jati diri masyarakat yang menjunjung tinggi kemewahan dan kesenangan melebihi rasional dan moral.

    Hinggakan perdana menteri terpaksa bersuara bagi mengingatkan rakyat bahawa mereka yang teruja dengan slogan “Bossku” adalah rakyat yang terperangkap dalam mentaliti hamba.

    Mungkin masyarakat tidak sedar bahawa perkataan boss itu sendiri datang daripada barat iaitu negara Amerika Syarikat, yakni panggilan kepada pemilik tanah kaum kulit putih oleh golongan hamba berkulit hitam.

    Dengan demikian, mereka yang memanggil Najib Razak sebagai Bossku merupakan milik bekas perdana menteri itu.

    Naratif kaum dan agama masih jadi modal

    Mahathir yang mengambil alih kerajaan bersekali dengan beban hutang dan pelbagai masalah kewangan sudah tentu rasa terganggu apabila individu yang dikatakan bertanggungjawab merosakkan negara masih boleh tersenyum dan bangga memperoleh kesetiaan melulu segelintir masyarakat.

    Hakikatnya budaya taat setia membabi buta merupakan antara produk utama sebuah parti politik orang Melayu dengan memupuk kepercayaan bahawa kaum Melayu sedang diancam oleh kaum-kaum lain dan hanya parti dan pemimpin parti tersebut yang berupaya melindungi kepentingan Melayu.

    Justeru pemimpin parti perlu ditaati demi survival kuasa politik Melayu. Keadaan ini menyebabkan masyarakat tidak menghiraukan isu utama yang membelenggu masyarakat kita khususnya berkaitan persoalan urus tadbir, rasuah, integriti dan salah guna kuasa.

    Sifat taat setia yang keterlaluan menyebabkan pembahagian kelas dalam masyarakat iaitu pemimpin dalam kelas pemerintah yang berkuasa manakala rakyat dalam kelas bawahan yang diperintah, akur dan setia.

    Namun demikian akibat daripada ketandusan jati diri, masyarakat memandang perbezaan kelas sebagai isu yang tidak penting. Malahan ideologi atau perjuangan kelas dianggap bertentangan dengan adat dan budaya Melayu.

    Manakala pemimpin-pemimpin politik berketurunan Cina dimomokkan sebagai cauvinis yang mahu mengambil peluang ke atas kekurangan dan kelemahan kaum Melayu.

    Inilah propaganda politik lama yang sentiasa diulang tayang bagi menakut-nakutkan orang Melayu terhadap politik baru yang dibawa oleh PH.

    Doktrin Melayu akan sentiasa sejahtera di bawah Umno merupakan kesedaran palsu yang ditanam dalam sanubari orang Melayu selama lebih 60 tahun. Kini doktrin tersebut masih membuahkan hasil kepada kesinambungan politik Umno.

    Sedangkan apa yang sebenarnya dibawa oleh Malaysia Baru ialah politik baru yang matang, dan kepercayaan bahawa rakyat boleh menukar kerajaan menerusi saluran demokrasi tanpa sebarang ketakutan.

    Rejim lama melabelkan kebebasan politik sebagai racun yang memporak-perandakan keharmonian masyarakat. Tanpa disedari berdekad lamanya naratif ini telah membentuk golongan ultra Melayu yang bersikap defensif kerana takut kehilangan kuasa.

    Pada mereka biarlah taraf hidup, kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat ditakuk lama, asalkan para pemimpin Umno masih kekal berkuasa ke atas orang-orang Melayu.

    Di samping itu bekas pemerintah juga berjaya mengekalkan kuasa selama ini kerana parti-parti komponennya mengapi-apikan sentimen perkauman di peringkat akar umbi.

    Parti berteraskan Melayu sibuk dengan isu hak keistimewaan Melayu yang tidak boleh disentuh sama sekali. Manakala parti bukan Melayu mencanangkan penghapusan prinsip Ketuanan Melayu sekiranya boleh menjejaskan kedudukan ekonomi dan kedudukan kaum mereka.

    Begitu perit untuk ditelan dalam era Malaysia baru sekiranya naratif perjuangan kaum dan agama masih menjadi permainan politik sesetengah pihak. Walhal konsep Ketuanan Melayu tidak terusik pun di bawah Malaysia baru.

    Ketuanan Melayu yakni pemberian ‘hak istimewa orang-orang Melayu’ dalam pelajaran dan perkhidmatan kerajaan, raja-raja Melayu sebagai ketua negeri, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sentiasa dilindungi perlembagaan negara dan dipertahankan oleh Raja-raja Melayu.

    Ironinya Malaysia Baru umpama udara segara yang didambakan oleh rakyat yang sekian lama terperuk dalam ekosistem politik yang tercemar. Justeru politik baru yang menjadi tunjang Malaysia Baru harus dibudayakan dan menjadi agenda utama kepimpinan negara.

    Seterusnya sinar Malaysia Baru harus berfungsi menerangi dan memperkukuhkan jati diri Melayu. Peralihan kuasa daripada rejim lama kepada rejim baharu boleh mengambil masa hanya dalam satu malam, akan tetapi pembangunan politik dan pentadbiran negara harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

    Akhirnya rakyat yang berjati diri boleh berasa berbangga sekiranya prinsip Malaysia Baru untuk memperbaiki apa yang telah rosak dan mengulangi kejayaan yang pernah dicapai sebelum ini menetapi sasarannya.


    MAZLI BIDU merupakan penulis buku Neofeudal Umno Dalam Politik Pembangunan Luar Bandar terbitan SIRD (2018).

    Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih