malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hisham pesan BN jangan sombong, Syed Hamid kata PH suka tunjuk kuasa
Diterbitkan:  Apr 15, 2019 8:37 PM
Dikemaskini: 12:37 PM
ADS

Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein mengingatkan agar tiga kemenangan berturut-turut tidak menjadikan Umno dan BN sombong.

"Tiga kemenangan berturut-turut ini akan menguatkan semangat Umno dan BN untuk bekerja lebih keras.

"Insya-Allah, jentera akar umbi akan mengekalkan kekuatan ini dalam pilihan raya kecil akan datang.

"Namun, nasihat saya adalah jangan jadi sombong kerana kita masih perlu bekerja keras untuk memenangi semula keyakinan rakyat," katanya dalam kenyataan di Twitter hari ini.

Hishammuddin berkata demikian sebagai mengulas kemenangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang berjaya mempertahankan kerusi Rantau dalam PRK Sabtu lalu.

Kemenangan itu merupakan yang ketiga buat BN selepas PRk Cameron Highlands dan Semenyih. Bulan depan, DAP akan cuba mempertahankan kubu kuatnya di Sandakan dalam satu lagi PRK.

 

Sementara itu, mengulas perkembangan sama, bekas menteri dan ahli Bersatu Syed Hamid Albar dalam satu ciapan balasnya di Twitter menyifatkan PH sebagai sombong.

"Masalah paling besar PH adalah sombong dengan kuasa dan suka tunjuk kekuasaan.

"Tidak mempedulikan Melayu sebagai majoriti dan tak sensitif isu Islam," katanya sebagai membalas ciapan pengguna Twitter @DonGotti.

Malah, tambah Syed Hamid, Umno dan PAS bersatu adalah kerana sikap PH.

Susulan itu, pengguna Twitter @DonGotti menyeru Syed Hamid untuk kembali menyokong BN.

 

Dalam ciapan berasingan, Syed Hamid malah meramalkan BN akan menang dalam PRK seterusnya.

"Kalau ada PRK lagi ramalan BN akan menang. Bersemangat dan bersatu jentera (kempen mereka).

"Isu Melayu Islam diputarkan. PH tak nampak berupaya menjawab. PRU14 rakyat memilih PH.

"Tapi sekarang setelah hampir setahun banyak perkara tak terjawab dengan baik dan berkesan. Persoalan yang timbul perlu ada jawapan segar dan meyakinkan," katanya.

 

Lihat Komen