malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tarikh bicara bekas pegawai Goldman Sachs diputuskan 17 Mei
ADS

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan menetapkan tarikh perbicaraan dua pertuduhan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, pada 17 Mei ini.

Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail berkata beliau akan membuat keputusan tersebut apabila ketika sebutan kes di mahkamah nanti.

“Saya tetapkan 17 Mei ini untuk serahan dokumen seperti dalam Kanun Tatacara Jenayah. Saya juga akan tetapkan tarikh yang sesuai untuk perbicaraan (kes Ng) pada 17 Mei,” katanya hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memberitahu Malaysiakini bahawa tarikh perbicaraan yang dimaksudkan ialah untuk pendakwaan mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Capital Markets Financial Act 2007) yang dikenakan terhadap Ng.

Dua lagi pertuduhan akan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zamri Bakar.

Pada 19 Disember tahun lalu, Ng minta dibicarakan terhadap empat tuduhan bersubahat dengan institusi kewangan itu untuk tidak memasukkan maklumat dan membuat fakta tidak benar berkenaan nota-nota terjamin dan bon berjumlah AS$6.5 bilion yang dikeluarkan antara 2012 hinga 2013.

Dia didakwa tidak memasukkan maklumat berkenaan ahli perniagaan Low Taek Jho menjadi pengendali dan orang tengah untuk 1MDB, yang merupakan syarikat induk 1MDB Energy Ltd.

1MDB Energy dan Aabar Investments PJS memeterai perjanjian kerjasama untuk peningkatan kredit dan menandatangani perjanjian pilihan (option agreement) untuk membeli 49 peratus saham dalam 1MDB Energy.

Dia juga didakwa tidak memasukkan maklumat bahawa 1MDB menandatangani satu perjanjian antara-penjamin dengan pelabur, yang menyebabkan pengeluaran Nota-nota Terjamin bernilai AS$3.5 billion (RM14.4 billion).

Ng, bersama-sama Goldman Sachs, turut dituduh membuat satu kenyataan tidak benar berhubung penjualan nota AS$3 bilion untuk 1MDB, yang merupakan satu usaha sama 50-50 antara pengeluar nota dan Aabar.

Untuk setiap dakwaan, Ng berdepan hukuman sepuluh tahun penjara dan denda tidak lebih RM1 juta jika sabit kesalahan. 

Lihat Komen